Pahang, Sarawak Bakal Jalin Kerjasama Dalam Bidang Kraf
KUCHING: Kehadiran Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah serta kerabat diraja ke Sarawak bakal membuka peluang menjalinkan kerjasama dalam bidang kraf.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, Sultan Pahang telah bersetuju untuk melihat sendiri Regatta Sarawak yang berlangsung pada minggu hadapan.
"Sultan Pahang akan hadir bersama keluarganya untuk menyaksikan Regatta tersebut di samping melawat pameran kraf, termasuk keringkam kita.
"Dua bulan lalu, saya telah melawat Pahang atas jemputan Sultan Pahang (sempena Temasya Warisan Pahang) bersama dengan Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
"Kita akan menjalinkan kerjasama dari segi pembangunan kraf," katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Regatta Sarawak 2025 di Tebingan Sungai Kuching, pada Jumaat.
Dalam pada itu, Datuk Patinggi Abang Zohari memberitahu, Sarawak International Dragon Boat Race (SIDBR) 2025 telah menerima banyak permohonan dengan 23 negara menyertai.
Terdahulu, Premier Sarawak berkesempatan melancarkan SIDBR 2025 dengan menyempurnakan majlis 'eye dotting' Dragon Boat Regatta dan 'flag-off' acara Battle Of The Dragons.
Sejumlah 62 pasukan dari 23 buah negara mengambil bahagian dengan jumlah penyertaan lebih 2,000 peserta.
Sebanyak tujuh kategori dipertandingkan iaitu International Premier Open 20's, Open 12's, Mixed 12's, Premier Women 12's, Master Open 12's (40 tahun ke atas), International Cancer Survivors Open, dan Battle of the Dragons (Dragon Tug) 6's paddlers. -EDISI UKAS