Kolej Tun Datu Tuanku Haji Bujang Terima Peruntukan Naik Taraf Asrama Lelaki
MIRI: Kolej Tun Datu Tuanku Haji Bujang menerima peruntukan sebanyak RM100,000 bagi tujuan menaik taraf kemudahan asrama lelaki bagi memastikan keselesaan pelajar yang menetap di asrama berkenaan.
Peruntukan berkenaan diumumkan oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan I (Pelancongan) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew.
Dalam ucapannya, peruntukan berkenaan merupakan respons kepada permohonan pihak sekolah bagi menambah baik prasarana asrama agar pelajar dapat belajar dan tinggal dalam suasana yang lebih selesa serta kondusif.
“Sebelum ini, saya telah menyalurkan RM300,000 bagi pembinaan dewan serbaguna, RM100,000 untuk menaik taraf asrama perempuan dan RM255,000 bagi pemasangan jubin di bilik darjah.
"Semua ini mencerminkan komitmen berterusan saya terhadap pembangunan pendidikan di Kolej Tun Datu Tuanku Haji Bujang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Kebitaraan-Murid Asrama Malaysia Sarawak dan Makan Malam 2025 di Pullman Hotel, Miri, pada Selasa.
Beliau turut menekankan kepentingan penerapan nilai hormat, disiplin dan keprihatinan dalam kalangan pelajar bagi membendung gejala buli serta salah laku di sekolah asrama.
“Budaya saling menghormati dan menjaga keharmonian amat penting dalam membentuk persekitaran pembelajaran yang positif.
"Saya menghargai usaha pengetua dan guru-guru yang sentiasa menekankan aspek ini dalam kalangan pelajar,” ujarnya.
Dalam pada itu, Datuk Sebastian turut berkongsi mengenai komitmen kerajaan negeri di bawah pimpinan Premier Sarawak yang memperkenalkan pelbagai inisiatif pendidikan termasuk biasiswa dan pembiayaan pengajian tinggi di universiti-universiti utama seperti UNIMAS, i-CATS, Universiti Teknologi Sarawak (UTS) dan Curtin University Malaysia.
“Mulai tahun 2026, kerajaan negeri akan menanggung sepenuhnya yuran pengajian di universiti-universiti ini, menjadikan Sarawak antara wilayah terawal di dunia yang menawarkan pendidikan tinggi percuma,” jelasnya.
Selain itu, beliau berkata pelajar daripada keluarga B40 turut akan menerima elaun RM15,000 setahun serta bantuan poket RM1,200 bagi meringankan beban kewangan semasa pengajian.
Beliau turut menyampaikan penghargaan kepada guru dan warga pendidik atas usaha mereka mendidik serta membimbing pelajar selain mengucapkan tahniah kepada semua penerima Anugerah Kebitaraan pada majlis tersebut.
Majlis tersebut turut dimeriahkan dengan pelbagai persembahan pelajar termasuk tarian Inang, persembahan kumpulan OPTIMA Band, tayangan video aktiviti pelajar serta penyampaian anugerah dan cenderamata kepada tetamu kehormat.
Antara penerima anugerah ialah Ashter Joy Petrus (Olahragawati Harapan), Ariel Huygens (Olahragawan Harapan), Etzlina Asi (Olahragawati Terbaik), Joshua Ding (Olahragawan Terbaik), Sherra Samantha (Anugerah Sahsiah Terpuji Pelajar Perempuan), Leonard Atun (Anugerah Sahsiah Terpuji Pelajar Lelaki) dan Siti Rodhiah Halani yang menerima Anugerah Khas Ibu Mithali.— EDISI UKAS