Kerajaan Sarawak Lancar Aplikasi Kenyalang Gold Card Dalam Sarawak Pass
KUCHING: Kerajaan Sarawak melakar satu lagi pencapaian penting dalam agenda transformasi digital kebajikan apabila Aplikasi Kenyalang Gold Card (KGC) secara rasmi dilancarkan menerusi platform Sarawak Pass bagi memudahkan urusan warga emas di seluruh negeri.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, aplikasi itu membolehkan warga emas berumur 60 tahun ke atas mendaftar dan mengaktifkan KGC mereka terus melalui telefon pintar tanpa perlu hadir ke mana-mana pejabat kebajikan, sekali gus mempercepatkan proses penyampaian perkhidmatan sosial kepada golongan berkenaan.
“Dengan sistem baharu ini, warga emas berumur 60 tahun ke atas kini boleh mendaftar dan mengaktifkan Kad Kenyalang Emas (KGC) secara terus melalui aplikasi Sarawak Pass tanpa perlu mengunjungi mana-mana Pejabat Kebajikan.
“Setelah diaktifkan, mereka akan menerima KGC maya serta-merta tanpa perlu menunggu kad fizikal,” katanya ketika berucap pada majlis penutupan Sarawak International Conference on Ageing (SICA) 2025 di Hotel Pullman di sini pada Rabu.
Beliau berkata, inisiatif itu bukan sahaja memperkukuh sistem kebajikan digital negeri, malah membuktikan komitmen kerajaan Sarawak untuk memastikan setiap warga emas dapat menikmati manfaat dengan lebih cepat dan efisien.
“Persediaan Sarawak menghadapi masyarakat yang menua bukan sahaja merupakan keperluan demografi, malah ia juga tanggungjawab moral dan pembangunan,” tegasnya.
Pelancaran aplikasi berkenaan telah disempurnakan oleh Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar sempena majlis penutupan SICA 2025.
Majlis pelancaran turut disaksikan oleh isteri beliau, Datin Amar Fatimah Mohamad Iskandar, Dato Sri Fatimah, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-kanak Sarawak Datuk Rosey Yunus, Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Datu Felicia Tan Ya Hua serta tetamu kehormat yang lain.
Langkah ini sejajar dengan matlamat Strategi Pembangunan Pacsa COVID-19 (PCDS) 2030 dalam mewujudkan sistem kebajikan pintar yang berfokus kepada kesejahteraan rakyat, terutama golongan warga emas yang semakin meningkat bilangannya menjelang 2028.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Betrice Britney Dee
Foto: Shahril Haqim