Program Rakan Komuniti TEGAS Perkukuh Penyampaian Maklumat Pendidikan, Sokong Agenda FTES
KUCHING: Inisiatif Program Rakan Komuniti TEGAS terus memperkukuh penyampaian maklumat pendidikan secara lebih tersusun dan inklusif, sekali gus menyokong pelaksanaan Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES) di seluruh negeri.
Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Penerbangan dan Jalan Raya), Datuk Dr Jerip Susil berkata, program berkenaan menjadi platform libat urus strategik yang menghubungkan dasar pendidikan kerajaan dengan kumpulan sasaran, khususnya pelajar di peringkat akar umbi.
Menurut beliau, dalam landskap pendidikan yang semakin dinamik, cabaran utama kini bukan lagi kekurangan peluang, sebaliknya memastikan maklumat sampai secara tepat, cepat dan menyeluruh kepada masyarakat.
“Peranan guru kaunseling sebagai ‘frontliner’ amat signifikan dalam membimbing pelajar membuat keputusan berkaitan hala tuju pendidikan dan kerjaya selaras dengan keperluan pasaran kerja masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Majlis Penangguhan Program Rakan Komuniti TEGAS di TEGAS Digital Village, pada Rabu.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak penganjur serta rakan strategik termasuk Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD) dan Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS) atas komitmen menjayakan program tersebut di seluruh Sarawak.
Mengulas lanjut, beliau menegaskan bahawa pelaksanaan FTES merupakan satu reformasi dasar yang memberi peluang lebih luas kepada anak Sarawak melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi tanpa kekangan kewangan.
“Buat pertama kalinya, akses pendidikan tinggi tidak lagi ditentukan oleh kemampuan kewangan semata-mata, tetapi berasaskan potensi dan keupayaan pelajar,” jelasnya.
Tambah beliau, inisiatif seperti Program Rakan Komuniti TEGAS turut memainkan peranan penting dalam memastikan maklumat mengenai FTES sampai kepada pelajar dan ibu bapa, khususnya di kawasan luar bandar yang sebelum ini berdepan kekangan akses maklumat.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata pelaksanaan FTES juga menunjukkan impak positif apabila semakin ramai pelajar mula menceburi bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta pengajian berimpak tinggi yang selari dengan keperluan industri masa hadapan.
“Generasi muda merupakan aset strategik negeri yang akan mengisi sektor bernilai tinggi termasuk industri berteknologi dan perusahaan berasaskan inovasi,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau berharap jaringan kerjasama yang terjalin melalui program tersebut dapat diteruskan sebagai usaha berterusan dalam memperkasa komuniti pendidikan serta melahirkan lebih ramai modal insan berkualiti di Sarawak.-EDISI UKAS