1,868 Pelajar Di Sarikei Terima Bantuan Baju Dan Kasut Sekolah
SARIKEI: Seramai 1,868 pelajar daripada tiga buah sekolah menengah di Sarikei menerima manfaat menerusi Program Pengagihan Baju dan Kasut Sekolah bagi tahun 2026.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi merangkap Ahli Parlimen Sarikei, Dato’ Sri Huang Tiong Sii berkata program tersebut telah dilaksanakan secara berterusan sejak tahun 2018 sebagai usaha membantu meringankan beban ibu bapa dalam menyediakan kelengkapan persekolahan anak-anak.
“Saya berharap sumbangan ini dapat memberi impak positif kepada para pelajar supaya mereka dapat hadir ke sekolah dengan lebih yakin, selesa dan bersemangat untuk menuntut ilmu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Pengagihan Baju dan Kasut Sekolah bagi tahun 2026 yang melibatkan pelajar dari SMK St Anthony, SMK Bandar Sarikei dan SMK Tinggi Sarikei, di sini pada Rabu.
Menurut beliau, bagi kawasan Sarikei, seramai 5,808 pelajar menerima manfaat daripada inisiatif berkenaan, manakala di kawasan Meradong pula melibatkan seramai 2,952 pelajar.
Secara keseluruhannya, program tersebut memberi manfaat kepada seramai 8,760 pelajar di kedua-dua kawasan berkenaan.
Dalam pada itu, beliau turut memuji langkah progresif Kerajaan Sarawak yang memperkenalkan pendidikan percuma di institusi pengajian tinggi milik kerajaan negeri sebagai usaha memperkasa pembangunan modal insan.
Menurutnya, inisiatif tersebut merupakan satu pelaburan penting bagi masa depan generasi muda agar mereka berpeluang melanjutkan pengajian tanpa dibebani kekangan kewangan.
“Ini jelas membuktikan kesungguhan Kerajaan Sarawak dalam meletakkan kebajikan rakyat sebagai agenda utama.
“Saya percaya setiap anak berhak mendapat peluang pendidikan yang sama. Gunakanlah peluang ini sebaik mungkin dan belajarlah bersungguh-sungguh demi masa depan yang lebih cerah,” katanya lagi.
Terdahulu, Dato’ Sri Huang turut menyampaikan sumbangan berjumlah RM20,000 kepada SMK St Anthony dan RM20,000 kepada SMK Tinggi Sarikei bagi menyokong pelaksanaan aktiviti tahunan sekolah, menjadikan jumlah keseluruhan sumbangan sebanyak RM40,000.-EDISI UKAS