Jasa Pesara KMKK Terus Dihargai Sebagai Tunjang Kepimpinan Akar Umbi
KABONG: Pengalaman dan jasa pesara Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) terus dihargai sebagai tunjang penting dalam memastikan kestabilan kepimpinan masyarakat di peringkat akar umbi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir berkata para pesara KMKK telah memainkan peranan besar sebagai jambatan utama antara kerajaan dan rakyat sepanjang tempoh perkhidmatan mereka.
“Pengalaman serta jasa bakti para Ketua Kaum dan Tuai Rumah yang telah menamatkan perkhidmatan amat bernilai dan tidak ternilai harganya dalam membangunkan masyarakat di peringkat akar umbi,” katanya ketika berucap pada Majlis Sekalung Budi Sempena Persaraan Ketua Kaum dan Tuai Rumah Daerah Kabong di Pejabat Daerah Kabong, pada Rabu.
Dalam pada itu, beliau berharap para pesara KMKK terus memainkan peranan sebagai penasihat tidak rasmi kepada pengganti masing-masing bagi memastikan kesinambungan kepimpinan masyarakat sentiasa kukuh.
Beliau turut mengingatkan Ketua Kaum dan Tuai Rumah yang masih berkhidmat atau yang baharu dilantik agar sentiasa memegang amanah dengan penuh tanggungjawab kerana jawatan KMKK bukanlah satu keistimewaan, sebaliknya satu amanah besar kepada rakyat.
Dalam majlis sama, Dato Mohd Chee turut menyampaikan simbolik sumbangan insentif pendidikan berjumlah RM1,000 kepada Presyila Ceceilia Adam yang akan mengikuti lawatan akademik serta pelaksanaan kerja kursus ke Yogyakarta, Indonesia.
Sumbangan tersebut diharap dapat membantu serta memberi semangat kepada beliau untuk terus menimba ilmu sekali gus mengharumkan nama daerah Kabong.
Turut hadir Pegawai Daerah Kabong Tahir Mohd Sharee, Wakil Residen Bahagian Betong Javani Rashwan Zaidul, Pegawai Daerah Saratok Muhammad Dino Amid serta tetamu lain.-EDISI UKAS