Pertandingan Lampu Berhias Eratkan Perpaduan Komuniti Tanjong Batu
BINTULU: Penganjuran pertandingan lampu berhias sempena Aidilfitri di Kampung Assyakirin dan kawasan sekitar menjadi wadah signifikan dalam memperkukuh perpaduan komuniti serta menyemarakkan semangat kejiranan dalam kalangan penduduk setempat.
Inisiatif berteraskan komuniti itu bukan sahaja menceriakan suasana perayaan, malah berperanan menggalakkan penglibatan aktif penduduk dalam aktiviti kemasyarakatan yang berimpak positif.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming berkata, program seumpama itu mencerminkan semangat kerjasama dan perpaduan yang semakin kukuh dalam kalangan masyarakat pelbagai latar belakang.
“Program seperti ini memberi manfaat kepada komuniti kerana dapat mengeratkan hubungan kejiranan serta menyemarakkan sambutan perayaan,” katanya semasa majlis penyampaian hadiah yang berlangsung di Pusat Khidmat Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Bintulu, pada Selasa.
Pertandingan tersebut melibatkan penyertaan penduduk dari Kampung Assyakirin Fasa 1, Fasa 2 dan Fasa 3 serta Kampung Jabai yang menampilkan pelbagai konsep hiasan kreatif di kediaman masing-masing.
Selain mencetuskan suasana Aidilfitri yang lebih meriah, pertandingan itu turut menjadi platform mencungkil kreativiti serta memperkukuh interaksi sosial antara penduduk.
Dalam pertandingan tersebut, Mulyadi Jimali dari Kampung Assyakirin Fasa 2 muncul sebagai johan, diikuti Nurhaizum Johny dari Kampung Jabai di tempat kedua, manakala Yusup Che Mat dari Kampung Assyakirin Fasa 2 menduduki tempat ketiga.
Penganjuran program seumpama ini dilihat mampu terus menjadi pemangkin kepada pembentukan komuniti yang harmoni, progresif serta saling bekerjasama dalam memacu pembangunan setempat.-EDISI UKAS