Sarawak Teroka Peluang Baharu Tenaga Bersih Bersama TotalEnergies
SINGAPURA: Kerajaan Sarawak terus memperluas jaringan kerjasama antarabangsa dalam sektor tenaga apabila mengadakan pertemuan strategik bersama TotalEnergies, syarikat tenaga global dari Perancis, bagi meneroka peluang baharu dalam pembangunan tenaga bersih dan mampan.
Pertemuan yang diketuai Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan itu diadakan ketika beliau berada di sini, bagi merasmikan Sarawak Pavilion di Food & Hospitality Asia (FHA) 2026, sekali gus membuka ruang kepada perbincangan lebih meluas melibatkan pelabur dan pemain industri global.
Perbincangan memberi tumpuan kepada usaha memanfaatkan sumber semula jadi Sarawak serta kepakaran global syarikat berkenaan, dengan kedua-dua pihak berkongsi aspirasi ke arah masa depan tenaga yang lebih lestari, khususnya dalam sektor solar, hidro dan biojisim.
Sarawak menyatakan komitmen memperluas kapasiti tenaga hijau, manakala TotalEnergies menyatakan minat untuk memperluas penglibatan dalam projek solar berskala besar, termasuk pemasangan darat dan terapung, selain berkongsi pengalaman pembangunan tenaga boleh diperbaharui di rantau Asia Pasifik.
Dalam sektor minyak dan gas, kedua-dua pihak turut menilai peluang kerjasama berterusan, mengambil kira kedudukan Sarawak sebagai negeri yang kaya dengan sumber gas serta perancangan untuk memenuhi keperluan dalam dan luar negara.
Perbincangan turut merangkumi bidang baharu seperti Bahan Api Penerbangan Mampan (SAF) serta teknologi pemerangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS), yang dilihat mampu menyokong usaha pengurangan pelepasan karbon.
Selain itu, kerjasama strategik melalui usaha sama TotalEnergies dengan Masdar dilihat berpotensi mempercepat pembangunan tenaga boleh diperbaharui di rantau Asia Pasifik, dengan Malaysia antara pasaran yang diberi fokus.
Langkah ini mencerminkan kesediaan Sarawak untuk bergerak lebih agresif dalam memperkukuh sektor tenaga masa depan, di samping menarik pelaburan berkualiti tinggi dari syarikat global.
Turut serta dalam pertemuan tersebut ialah Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak Datuk Dr. Malcom Mussen Lamoh, Penasihat MINTRED Dato Sri Mohd Naroden Majais dan Setiausaha Tetap Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak (MINTRED). -EDISI UKAS