Pementasan Epik 'Rentap - The Battle Of Bukit Sadok' Pikat Hati Sultan Pahang & Tengku Ampuan Pahang
KUCHING: Pementasan teater 'Rentap - Battle of Bukit Sadok mencuri tumpuan Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, dan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj semasa mencemar duli ke Kampung Budaya Sarawak pada Ahad.
Persembahan tersebut mengisahkan perjuangan pahlawan Iban terkenal, Rentap, dalam menentang penjajahan Brooke pada abad ke-19 yang menjadi simbol keberanian dan semangat juang menentang penjajahan di Sarawak.
Persembahan dramatik itu menonjolkan semangat keberanian dan jati diri masyarakat Iban dalam mempertahankan tanah air mereka dengan legasi Rentap terus hidup hingga hari ini sebagai lambang penentangan dan semangat perjuangan rakyat Sarawak yang tidak pernah luntur.
Baginda berdua kelihatan terpesona dengan pementasan tersebut, malah Tengku Ampuan Pahang turut merakam detik persembahan menggunakan telefon bimbit sebagai kenangan.
Persembahan teater itu merupakan antara acara kemuncak sempena lawatan diraja Pahang ke Kampung Budaya Sarawak, sebelum Baginda berdua berkenan mencemar duli ke Regatta Sarawak 2025 pada sebelah petang.
Terdahulu, Keberangkatan tiba Baginda berdua pada sekitar 10 pagi disambut dengan Persembahan Tarian Selamat Datang di pintu masuk utama yang menampilkan keunikan gerak tari masyarakat pelbagai etnik di Sarawak.
Baginda seterusnya berkenan menghadiri lawatan berpandu ke empat rumah etnik utama iaitu Baruk Bidayuh, Rumah Panjang Iban, Pondok Penan dan Rumah Panjang Orang Ulu di mana setiap lokasi menampilkan aktiviti budaya tradisi masyarakat masing-masing.
Menarik perhatian, Al-Sultan Abdullah turut berkenan menyumpit ketika di Pondok Penan di mana berjaya meletupkan beberapa belon yang mendapat sorakan para hadirin.
Selepas itu, rombongan diraja meneruskan lawatan berpandu menggunakan buggy untuk melalui Rumah Tinggi Melanau, Rumah Melayu dan Rumah Cina, sambil diiringi penerangan berkaitan seni bina dan amalan tradisi setiap komuniti.
Usai persembahan teater, Baginda berdua berangkat ke Budaya Restoran untuk Santapan Tengah Hari bertemakan “Highlander Etnik Sarawak”, yang mengetengahkan hidangan istimewa seperti Nasi Bario, Sayur Paku Masak Belacan, Abbeg Arur Layun (daging cincang), Manok Pansoh dan pelbagai juadah tradisional masyarakat tanah tinggi Sarawak.
Mengiringi Baginda berdua, anakanda kepada Premier Sarawak Dayang Norjihan Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Datuk Mohammad Razi Sitam, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak Datuk Dr Hazland Abang Hipni, Ketua Setiausaha Politik Kepada Premier Sarawak Dato Fazzrudin Abdul Rahman serta dif kenamaan lain. -EDISI UKAS
Disediakan oleh: Ahmad Daniel Faiz
Jurugambar: Hazrin Sunaini