Warisan Islam & Budaya Melayu Terus Subur di Bumi Kenyalang
KUCHING: Penganjuran Pertandingan Dzikir Duduk Peringkat Sarawak dan Pesta Marhaban Borneo 2025 menjadi manifestasi komitmen berterusan Kerajaan Sarawak dalam memperkasakan warisan Islam dan budaya Melayu agar terus subur di rantau Borneo.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, program anjuran Persatuan Kebangsaan Melayu Sarawak (PKMS) itu bukan sahaja meraikan keindahan seni Islam, malah memperkukuh jalinan ukhuwah antara masyarakat Islam dari Malaysia, Brunei Darussalam dan Kalimantan Barat.
“Program seperti ini bukan sahaja memperlihatkan kecintaan kita terhadap warisan Islam dan budaya Melayu, malah membuktikan bahawa masyarakat kita masih utuh berpegang kepada nilai-nilai murni agama yang telah diwariskan sejak turun-temurun.
“Dalam usaha kita untuk memelihara warisan Islam dan Melayu di Sarawak dan juga di Borneo dan juga termasuk di seluruh Nusantara, kita berusaha untuk bersama-sama memastikan bahawa kita akan memupuk kerjasama dalam usaha yang sama seperti yang kita lakukan dalam majlis yang kita laksanakan pada kali ini” katanya.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, semasa Majlis Makan Malam Penangguhan serta Pertandingan Zikir Marhaban Peringkat Sarawak dan Pesta Marhaban Borneo di Hikmah Exchange Event Centre (HEEC), Kuching pada Ahad.
Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari berkata, dzikir duduk dan marhaban bukan sekadar bentuk seni Islam, tetapi juga sarat dengan nilai dakwah yang lembut namun mendalam maknanya.
Menurutnya, kedua-dua amalan ini telah lama menjadi sebahagian daripada budaya masyarakat Melayu-Islam di Sarawak dan dizahirkan dalam pelbagai majlis seperti Maulidur Rasul, perkahwinan serta kenduri kesyukuran.
Beliau berkata, Kerajaan Sarawak amat menghargai dan menyokong penuh usaha badan bukan kerajaan seperti PKMS dalam memastikan warisan keislaman ini terus hidup dan berkembang, khususnya dalam kalangan generasi muda.
Premier Sarawak turut memuji kejayaan Pesta Marhaban Borneo 2025 yang menghimpunkan penyertaan bukan sahaja dari seluruh Malaysia, tetapi juga dari Brunei Darussalam dan beberapa wilayah di Kalimantan Barat termasuk Singkawang, Sanggau, Sekadau, Mempawah dan Sambas.
Katanya, penglibatan serantau ini menggambarkan bahawa ukhuwah Islamiah dan budaya Nusantara terus subur serta memperkukuh hubungan sesama masyarakat Islam di Kepulauan Borneo.
Dalam pada itu, beliau menyeru generasi muda agar terus mencintai dan mendalami seni warisan Islam supaya tidak pupus ditelan arus modenisasi.
Beliau turut mengajak semua pihak memperbaharui pendekatan dalam memelihara tradisi agar kekal relevan dengan jiwa generasi masa kini.
Pada majlis sama, Kumpulan Zikir Suara Seni Kuching dinobatkan sebagai johan Pertandingan Dzikir Marhaban Peringkat Sarawak dan membawa pulang piala, sijil, fabrik sumbangan Jasmin Nawahar serta wang tunai RM10,000.
Tempat kedua dimenangi oleh Kumpulan Zikir Suara Baru dari Kampung Naie Lama, Samarahan yang menerima piala, sijil, fabrik sumbangan Jasmin Nawahar dan wang tunai RM7,000, manakala Kumpulan Zikir As Sufi dari Limbang meraih tempat ketiga dengan piala, sijil, fabrik sumbangan Jasmin Nawahar dan wang tunai RM5,000.
Turut hadir ialah Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak Datu Misnu Taha, Konsul Agung Negara Brunei di Sarawak Sheikh Abdul Mahdani Dato Paduka Sheikh Abdul Gani, Pengarah Jabatan Agama Islam Sarawak / Setiausaha Majlis Islam Sarawak Mual Suaud dan Pengarah Jabatan Mufti Sarawak Ahmad Sukarno Saini.-EDISI UKAS