Semangat Perpaduan dan Komunikasi Jadi Teras Kejayaan MBKS
KUCHING: Semangat perpaduan dan komunikasi berkesan dalam kalangan warga kerja Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) menjadi kunci utama kepada kejayaan majlis itu dalam mengekalkan bandar raya yang bersih, hijau dan selamat.
Datuk Bandar MBKS, Dato Wee Hong Seng berkata, tradisi MBKS meraikan semua perayaan utama termasuk Tahun Baharu Cina, Hari Raya Aidilfitri, Gawai, Krismas dan Deepavali menggambarkan kekuatan perpaduan warga majlis.
“Sambutan perayaan seperti Deepavali mengingatkan kita bahawa cahaya sentiasa mengatasi kegelapan, dan kebenaran serta kebaikan akan menewaskan ketakutan serta negatif.
“Nilai ini bukan sahaja penting dalam kehidupan peribadi, tetapi juga di tempat kerja dan komuniti,” katanya semasa berucap pada Majlis Sambutan Deepavali 2025 anjuran MBKS di Kuching pada Selasa yang turut dihadiri Ahli Majlis, ketua-ketua bahagian dan kakitangan pelbagai peringkat.
Katanya, perayaan bukan sekadar acara sosial, tetapi wadah untuk mengukuhkan hubungan sesama warga kerja.
Ini akan mengukuhkan lagi keharmonian dalam kalangan rakan sekerja adalah asas kepada kejayaan MBKS, tambahnya.
Dato Wee turut merakamkan penghargaan kepada semua ahli majlis dan kakitangan atas dedikasi serta komitmen mereka dalam memastikan Kuching Selatan kekal bersih, hijau dan mesra penduduk.
Beliau juga menyeru agar komunikasi terus dipertingkat dalam organisasi sebagai asas kepada hubungan kerja yang kukuh.
“Biasakan untuk berbicara, mendengar, berkongsi dan saling menyokong. Perbualan ringkas boleh menyelesaikan banyak isu serta mengukuhkan kefahaman dan semangat pasukan,” katanya.
Ujanrya, kesatuan dan integriti dalam melaksanakan tugas menjadi teras kepada penyampaian perkhidmatan awam terbaik kepada rakyat Kuching Selatan.
“Setiap tindakan dan sikap kita mencerminkan nama MBKS. Teruskan semangat khidmat ini dengan penuh dedikasi agar kita terus bersinar untuk Kuching Selatan,” katanya menutup ucapan. -EDISI UKAS
Disediakan oleh : Maryam Zanariah Ibrahim
Foto : Naseem