BINTANGOR: Padang futsal di Pekan Bintangor siap sepenuhnya dan kini boleh dimanfaatkan oleh penduduk setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing berkata, pembinaan padang futsal itu dilaksanakan di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) dengan peruntukan sebanyak RM100,000.
Menurutnya, projek tersebut merupakan antara inisiatif kerajaan negeri bagi menyediakan kemudahan sukan yang berkualiti untuk kegunaan komuniti, khususnya golongan belia.
“Saya berpuas hati dengan keadaan padang futsal ini yang kini lebih sempurna dan selesa digunakan oleh penduduk sekitar, terutama belia,” katanya selepas meninjau tapak projek berkenaan pada Isnin.
Tambahnya, keadaan padang yang lebih rata serta lengkap dengan tiang gol dan jaring membolehkan ia digunakan bagi penganjuran pertandingan futsal serta aktiviti riadah lain.
Selain itu katanya, padang ini turut dilengkapi lampu solar yang cukup terang untuk membolehkan pelbagai aktiviti dijalankan pada waktu malam.
Datuk Ding memberitahu, projek padang serbaguna berkenaan siap lebih awal daripada jadual asal dan turut dipagar bagi memastikan keselamatan peralatan serta mengelak kejadian vandalisme.
Justeru ujarnya, penduduk pekan diseru agar padang tersebut dimanfaatkan sepenuhnya untuk penganjuran aktiviti sihat dan bermanfaat kepada komuniti setempat. -EDISI UKAS