Dulu Terpencil, Kampung Seberang Kini Setanding Bandar Baharu
SARIKEI: Dahulunya hanya sebuah penempatan kecil yang terpencil dan jauh daripada arus pembangunan, Kampung Seberang kini berubah wajah menjadi kawasan pesat membangun hasil keprihatinan serta komitmen kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam membangunkan kawasan luar bandar.
Ketua Pemuda Cawangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Kuala Rajang, Kaunselor Mornurazli Morshidi mengakui perubahan ketara itu yang menyifatkan pembangunan pesat di kampung kelahirannya sebagai bukti nyata kejayaan dasar kerajaan GPS.
“Dulu jalan sempit, tiada lampu isyarat, padang bola sering bertakung air dan surau kayu menjadi tempat utama beribadah, tetapi kini keadaan jauh berbeza dengan pelbagai kemudahan moden hasil kesungguhan usaha kerajaan.
"Malah suatu ketika dahulu, saya tidak pernah terfikir bakal mengecapi pembangunan seperti yang dirasai hari ini," katanya ketika ditemuramah UKAS baru-baru ini.
Mornurazli berkata, antara kemudahan baharu yang dibangunkan ialah Pusat Sukan Integrasi moden, masjid baharu yang selesa, Pejabat Jabatan Agama Islam Sarikei, serta Sekolah Rendah Agama Sarikei sebagai pusat pendidikan awal penting.
Selain itu katanya, turut disediakan pusat penjaja yang lengkap dengan kiosk bagj membuka peluang keusahawanan kepada penduduk.
“Segala kemajuan ini membuktikan kerajaan amat komited membangunkan kampung secara menyeluruh agar setaraf dengan kawasan bandar dari segi kemudahan, pendidikan, sosial dan ekonomi,” jelasnya. -EDISI UKAS