SRAS Diperluaskan Kepada Pelajar IPTA/IPTS Kelahiran Sarawak
KOTA SAMARAHAN: Anak jati Sarawak yang menuntut di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) layak untuk memohon Skim Bantuan Sewa Kediaman (SRAS) yang diperkenalkan Sarawak menerusi Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC).
Premier Sarawak merangkap Pro Canselor Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, berkata SRAS diperkenalkan bukan sahaja untuk belia bekerja sahaja, tetapi untuk meringankan beban pelajar yang menyewa luar daripada kediaman kolej IPTA/IPTS.
“Kerajaan Sarawak juga telah memperkenalkan SRAS bagi meringankan beban anak jati Sarawak yang tinggal menyewa semasa pengajian mereka.
“Bantuan RM200 sebulan untuk pelajar IPTA/IPTS yang menyewa di bandar utama seperti Kuching, Samarahan, Sibu, Bintulu dan Miri,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Konvokesyen Ke-29 UNIMAS, Sidang 3, di sini, pada Selasa.
Sidang 3 majlis berkenaan menyaksikan seramai 575 graduan Siswazah melibatkan pengurniaan kepada graduan dari Fakulti Seni Gunaan dan Kreatif seramai 255 orang graduan dan Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat seramai 320 orang graduan.
Hadir sama, Pengerusi Lembaga Pengarah UNIMAS Tan Sri Datuk Seri Panglima Sulong Matjeraie, Naib Canselor UNIMAS Profesor Dr Ahmad Hata Rasit, Ahli-Ahli Lembaga Pengarah UNIMAS serta tetamu kehormat yang lain. -EDISI UKAS