Anugerah ‘The Order of the Rising Sun Gold & Silver Star’ Anugerah Untuk Sarawak
KOTA SAMARAHAN: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg menyifatkan Anugerah ‘The Order of the Rising Sun Gold & Silver Star’ yang dianugerahkan oleh Kerajaan Jepun kepada beliau bukanlah pengiktirafan individu semata-mata, tetapi buat seluruh negeri Sarawak.
Menurutnya, penganugerahan itu secara langsung mengiktiraf dasar-dasar yang dibawa Sarawak khususnya dalam sektor tenaga.
“Dan anugerah ini bukanlah untuk saya secara peribadi, sebaliknya untuk negeri Sarawak, sebagai pengiktirafan dunia terhadap dasar-dasar progresif yang telah diperkenalkan oleh Sarawak, khususnya dalam sektor tenaga.
“Sarawak kini menumpukan kepada pembangunan tenaga hidrogen dan tenaga boleh diperbaharui, di mana Jepun menjadi rakan strategik utama dalam usaha bersama meneroka teknologi baharu berasaskan tenaga hijau,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyempurnakan Majlis Konvokesyen Ke-29 Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) Sidang 3, di sini, pada Selasa.
Selain itu katanya, penganugerahan ini menunjukkan dasar ‘low carbon footprint’ yang dipacu Sarawak turut mendapat pengiktirafan daripada negara berkenaan.
Tegasnya, pengiktirafan daripada Jepun yang sudah jauh membangun akan mengukuhkan lagi peranan Sarawak dalam meneroka teknologi baharu yang menjadi penggerak ekonomi hari ini.
“Dan ini merupakan salah satu pengiktirafan dunia, memandangkan Jepun adalah sebuah negara maju dan berindustri di Asia.
“Saya yakin dengan pengiktirafan ini, Sarawak dapat memperluas peranan secara lebih aktif, khususnya dalam meneroka teknologi baharu untuk memacu ekonomi masa depan,” ujar beliau lagi.
Untuk rekod, Datuk Patinggi Abang Zohari merupakan pemimpin pertama dari Sarawak yang menerima anugerah berkenaan yang akan disampaikan pada 11 November ini di Tokyo. - EDISI UKAS