Aidilfitri Dimanfaatkan Perkasa Jaringan Komuniti Pelbagai Lapisan
SIBU: Kunjungan Aidilfitri terus dimanfaatkan sebagai platform strategik dalam memperkukuh jaringan komuniti serta hubungan antara pemimpin dan rakyat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelawan.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Michael Tiang Ming Tee berkata, pendekatan turun padang menerusi ziarah tersebut membolehkan interaksi lebih dekat selain mempererat hubungan dengan pelbagai lapisan masyarakat.
Beliau berkata semangat Aidilfitri wajar dimanfaatkan untuk merapatkan hubungan serta memperkukuhkan perpaduan dalam kalangan komuniti pelbagai lapisan.
Kunjungan dimulakan di kediaman Pengerusi Masjid Darul Firdaus, Junaidi Mohamad Mokhtar sebelum rombongan meneruskan ziarah ke rumah Ketua Pemuda PBB Pelawan, Abang Mohamad Hafiq Abang Kassim.
Rombongan turut menziarahi Pengerusi Pembinaan Masjid Baharu Masjid Darul Firdaus Apollo Sibu, Hamzah A. Beraan, dengan perbincangan menyentuh perkembangan projek pembinaan masjid berkenaan.
Selain itu, beliau turut meluangkan masa mengunjungi Ketua Wanita AJK Masjid Darul Firdaus merangkap wakil Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Apollo Deshon Sibu, Dayang Siti Khaminah Abang Bolhassan.
Menurut beliau, kunjungan seperti ini bukan sahaja menghidupkan suasana perayaan, malah menjadi saluran penting untuk memahami keperluan sebenar masyarakat di peringkat akar umbi.
Beliau turut menegaskan bahawa kerjasama erat antara pemimpin dan komuniti amat penting dalam memastikan pembangunan kawasan berjalan lancar dan inklusif.
Program berkenaan mencerminkan pendekatan berterusan dalam memperkukuh keterlibatan komuniti serta memperkasakan perpaduan selari dengan semangat Aidilfitri.-EDISI UKAS