Dato Sri Julaihi Raikan Aidilfitri Di Kampung Halaman
SEBUYAU: Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi meluangkan masa menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama komuniti setempat di kampung halaman beliau iaitu di Kampung Sebangan.
Beliau memulakan sambutan dengan menunaikan sembahyang sunat Aidilfitri di Masjid Darul Aman Sebangan bersama penduduk kampung.
Suasana pagi Syawal itu disifatkan meriah dan penuh makna apabila beliau berpeluang bertemu serta beramah mesra dengan komuniti setempat di kampung kelahiran beliau sendiri.
Sejurus selesai solat, beliau turut menyertai jamuan pagi Aidilfitri bersama pegawai daerah, ahli jawatankuasa masjid serta penduduk kampung di perkarangan masjid, dalam suasana penuh muhibah dan kebersamaan.
Antara yang hadir ialah Pegawai Daerah Sebuyau, Ayuradiman Bujang, Pengerusi Masjid Darul Aman, Yaman Median serta Penghulu Kawasan Sebangan, Abdul Hamid Zaini.
Meneruskan sambutan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau itu kemudiannya berkunjung ke kediaman keluarga di Kampung Sampat Sebangan bagi menziarahi sanak saudara, sekali gus menghidupkan tradisi kunjung-mengunjung yang menjadi amalan masyarakat setempat setiap kali Aidilfitri.
Beliau turut mengambil kesempatan mengucapkan Salam Aidilfitri serta salam maju jaya kepada seluruh masyarakat, sambil menzahirkan harapan agar semangat perpaduan dan keharmonian terus diperkukuh dalam kalangan rakyat Sarawak. -EDISI UKAS