Kepimpinan Wanita Rumah Panjang Semakin Diperkasa di Betong
BETONG: Kepimpinan wanita di peringkat rumah panjang kini semakin mendapat pengiktirafan apabila seramai 14 Tuai Rumah wanita dilantik di kawasan Betong, sekali gus mencerminkan perubahan positif dalam struktur sosial masyarakat luar bandar.
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Gerald Rentap Jabu berkata, penglibatan wanita dalam kepimpinan komuniti bukan sahaja menunjukkan kemampuan mereka memimpin, malah membantu memperkukuh kerjasama dalam kalangan penduduk bagi menjayakan pelbagai inisiatif pembangunan.
“Penglibatan wanita dalam kepimpinan rumah panjang bukan sahaja menunjukkan perubahan positif dalam masyarakat, malah membantu memperkukuh kerjasama dalam kalangan penduduk bagi menjayakan pelbagai program pembangunan.
“Kita melihat wanita hari ini bukan sahaja berperanan dalam institusi keluarga, tetapi juga mampu memimpin komuniti dengan baik, sekali gus menyumbang kepada pembangunan luar bandar yang lebih inklusif,” katanya ketika berucap pada program Pemimpin Bersama Rakyat di Rh. Spell Anak Gelayan, Selulap, pada Ahad.
Beliau dalam pada itu menegaskan bahawa peranan ketua kampung dan tuai rumah kekal sebagai tonggak utama dalam memastikan setiap perancangan pembangunan kerajaan dapat disampaikan dengan berkesan kepada rakyat, khususnya di kawasan rumah panjang.
Menurutnya, pelaksanaan pelbagai projek di bawah Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) terus menjadi pemangkin kepada transformasi luar bandar, termasuk cadangan pembinaan Jalan Baharu ke Tebalau Ulu, Layar bernilai RM10 juta yang kini berada di peringkat rekaan.
Sementara itu, Ahli Parlimen Betong, Dato Dr Richard Rapu berkata pembangunan di kawasan tersebut bukan sahaja memberi tumpuan kepada aspek infrastruktur, malah turut melibatkan usaha memperkasa sosioekonomi serta meningkatkan kualiti hidup masyarakat setempat.
Beliau berkata, inisiatif kerajaan negeri dalam bidang pendidikan termasuk menanggung yuran pengajian di semua universiti milik Sarawak bermula tahun 2026 akan membuka peluang lebih luas kepada pelajar, khususnya dari luar bandar, untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
Dalam perkembangan sama, beliau turut mengumumkan sumbangan sebanyak RM5,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Panjang Selulap bagi menyokong pelaksanaan aktiviti komuniti.
Pada majlis tersebut, sijil pelantikan turut disampaikan kepada tuai-tuai rumah yang baharu dilantik dan dilantik semula melibatkan 31 buah rumah panjang di kawasan berkenaan.
Turut hadir Residen Bahagian Betong, Datu Richard Michael Abunawas, Pegawai Daerah Betong, Laga Kueh, Pegawai Pertanian Bahagian Betong, Leo Toni, Pemanca Masyarakat Iban Daerah Betong, Norman Ngumbang, Penghulu Kawasan Layar Tengah, Stanley Ejau Erin serta Tuai Rumah Spell Gelayan, Tuai Rumah Panjang Selulap. -EDISI UKAS