ADUN Opar Tekad Usaha Dana Tambahan Pembinaan Chapel St Jacob
LUNDU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Billy Sujang menzahirkan komitmen berterusan dalam memastikan pembangunan rumah ibadat di kawasannya dapat dilaksanakan dengan sempurna, termasuk usaha mendapatkan dana tambahan bagi menampung keperluan projek semasa.
Berucap semasa Majlis Pemberkatan dan Pecah Tanah Tapak Chapel St Jacob baharu di Kampung Temaga Dayak pada Ahad, beliau merakamkan penghargaan terhadap semangat kerjasama erat yang ditunjukkan oleh pihak gereja serta komuniti setempat dalam menjayakan majlis tersebut.
Menurut beliau, walaupun projek pembinaan chapel itu telah menerima peruntukan awal, jumlah berkenaan masih belum mencukupi untuk menampung keseluruhan kos yang dianggarkan sekitar RM1 juta.
Sehubungan itu, Billy memberi jaminan akan terus berusaha mendapatkan dana tambahan bagi memastikan projek pembinaan tersebut dapat disiapkan sepenuhnya demi manfaat masyarakat setempat.
“Apabila siap kelak, chapel ini bukan sahaja menyediakan ruang ibadat yang lebih selesa, malah menjadi pusat pengukuhan nilai kerohanian, perpaduan serta hubungan kekeluargaan dalam kalangan masyarakat,” katanya.
Terdahulu, beliau turut menyampaikan dana tambahan berjumlah RM200,000 daripada dana Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain.
Hadir sama, Bishop Gereja Anglican Sarawak Datuk Donald Jute. -EDISI UKAS