Belia Diingatkan Jauhi Isu 3R, Bijak Guna Media Sosial
SARATOK: Golongan muda diingatkan agar lebih berhemah dalam penggunaan media sosial serta mengelakkan penyebaran isu sensitif melibatkan agama, kaum dan institusi diraja (3R) demi memastikan keharmonian masyarakat terus terpelihara.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Krian, Friday Belik berkata, generasi muda memainkan peranan penting dalam membentuk landskap sosial masa kini, justeru mereka perlu bijak menilai setiap maklumat sebelum berkongsi di platform digital.
“Golongan muda perlu lebih berhati-hati dalam penggunaan media sosial dan tidak mudah terpengaruh dengan isu-isu sensitif yang boleh menggugat perpaduan masyarakat.
“Kita mahu memastikan keharmonian yang dinikmati hari ini terus berkekalan, dan ini memerlukan kerjasama semua pihak termasuk generasi muda untuk lebih bertanggungjawab dalam setiap tindakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Mesyuarat Agung Tri Tahunan Parti Demokratik Progresif (PDP) Bahagian N39 Krian yang diadakan di Dewan Sri Krian, Saratok pada Ahad.
Dalam pada itu, beliau turut menyeru ahli parti untuk terus memperkukuh perpaduan serta mengekalkan sokongan terhadap kepimpinan parti dan kerajaan negeri demi memastikan agenda pembangunan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
Mesyuarat tersebut turut menyaksikan pengekalan Friday sebagai Presiden PDP Bahagian Krian, manakala Senator Pele Peter Tinggom dilantik sebagai Naib Pengerusi 2 (Lantikan).
Selain itu, pergerakan Pemuda dan Wanita PDP turut dibubarkan bagi memberi laluan kepada pelantikan kepimpinan baharu, dengan Riza Nalang dilantik sebagai Ketua Pemuda dan Anie Isek sebagai Ketua Wanita.
Dalam perkembangan sama, beliau turut mencadangkan pembinaan jejambat di simpang Saratok serta menaik taraf jalan dari simpang Saratok ke pekan kepada empat lorong bagi meningkatkan keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya.
Cadangan tersebut dilihat sebagai langkah proaktif dalam menangani isu kesesakan lalu lintas serta mengurangkan risiko kemalangan yang kerap berlaku di kawasan berkenaan.-EDISI UKAS