UNIMAS Kukuh Peranan Sebagai Pemacu Transformasi Digital Sarawak
KOTA SAMARAHAN: Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) terus memperkukuh kedudukannya sebagai peneraju transformasi digital di Malaysia apabila muncul sebagai institusi pengajian tinggi awam (IPTA) pertama melaksanakan dua pensijilan teknologi antarabangsa, iaitu Gemini Certified Educator dan Google Certified Educator.
Naib Canselor UNIMAS, Profesor Datuk Dr. Hata Rasit berkata langkah itu merupakan sebahagian daripada strategi universiti untuk memastikan kompetensi staf dan graduan bertaraf dunia, sejajar dengan perubahan pesat dalam bidang kecerdasan buatan (AI) dan teknologi hijau.
“Pensijilan ini memberi jaminan bahawa tenaga pengajar dan pelajar UNIMAS bersedia menghadapi keperluan industri global yang semakin bergantung kepada kemahiran digital dan literasi AI,” katanya ketika berucap pada Majlis Konvokesyen UNIMAS Ke-29 di DeTAR Putra, UNIMAS pada Selasa.
Selain itu, UNIMAS turut menubuhkan Digital Experience Hub dengan kerjasama Google for Education, menjadikannya IPTA pertama di Malaysia yang menawarkan latihan bersijil antarabangsa, penggunaan peranti Chromebook, serta integrasi Gemini AI dan Google Workspace dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
Beliau menambah, inisiatif ini bukan sahaja memperkasa kecekapan digital warga kampus, tetapi turut menyumbang kepada matlamat Sarawak sebagai Hab Digital Borneo.
“Melalui platform seperti Digital Technology NEXUS dan kolaborasi dengan Loughborough University London, UNIMAS kini menjadi pemacu utama agenda kecerdasan buatan dan teknologi hijau di wilayah ini,” ujarnya.
Tambahnya, transformasi digital ini turut diperluas kepada aspek keselamatan dan kebajikan pelajar melalui pelancaran aplikasi UNIMAS Prihatin, yang dilengkapi dengan fungsi respon pantas atau panic button bagi menjamin keselamatan pelajar dan staf termasuk warga OKU.
Inisiatif tersebut menunjukkan kesungguhan UNIMAS dalam menggabungkan teknologi pintar dengan kesejahteraan komuniti kampus, sejajar dengan hasrat universiti untuk membina ekosistem pembelajaran pintar, inklusif dan berdaya tahan, jelas beliau.
“Transformasi digital bukan sekadar perubahan teknologi, tetapi perubahan budaya kerja dan cara berfikir.
"Kita mahu setiap warga UNIMAS menjadi agen inovasi yang membawa manfaat kepada masyarakat dan negara,” tegas beliau.
Majlis konvokesyen tahun ini meraikan seramai 4,100 graduan, terdiri daripada 3,448 graduan prasiswazah dan 652 graduan pascasiswazah, selain pengiktirafan khas kepada tiga tokoh akademik sebagai Profesor Emeritus dan Profesor Emerita atas jasa dan sumbangan besar dalam dunia pendidikan tinggi dan penyelidikan.
Majlis turut dihadiri oleh Pro Canselor UNIMAS, Datuk Patinggi Tan Sri Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, Pengerusi Lembaga Pengarah UNIMAS, Tan Sri Datuk Seri Panglima Sulong Matjeraie ,Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Datuk Ik Pahon Joyik, pengurusan universiti serta ibu bapa dan tetamu kehormat yang lain.-EDISI UKAS