Pasukan RANDO Kapit Diseru Tampil Semangat Juang Tinggi Pada Karnival Sukan RANDO Sarawak 2025
KAPIT: Pasukan RANDO Kapit diseru agar menampilkan semangat juang tinggi untuk mengharumkan Bahagian Kapit dalam Karnival Sukan RANDO Sarawak 2025 yang bakal berlangsung di Samarahan dari 6 hingga 9 November ini.
Residen Bahagian Kapit, Elvis Didit berkata, disiplin, semangat berpasukan dan komitmen tinggi para peserta amat penting bagi memastikan pasukan RANDO Kapit beroleh kejayaan.
Beliau berkata demikian semasa menyempurnakan Majlis Simbolik Penyerahan Baju dan Bendera RANDO Kapit di Kompleks Kerajaan Negeri Kapit pada Selasa.
Elvis turut menyeru pasukan agar sentiasa mengekalkan tahap kecergasan fizikal dan mental sepanjang menghadapi pertandingan.
Sebagai suntikan moral, beliau menguumkan pasukan yang berjaya membawa pulang piala kemenangan akan menerima Anugerah Khas sebagai penghargaan atas usaha dan dedikasi mereka.
Dalam pada itu, beliau menyatakan rasa bangga dengan pencapaian pasukan perbarisan RANDO Kapit yang telah meraih tempat ketiga pada temasya terdahulu dan membawa pulang hadiah wang tunai RM2,000, membuktikan semangat kesukanan yang tinggi dalam kalangan anggota.
Seramai 65 orang pemain akan mewakili Bahagian Kapit dalam temasya kali ini, melibatkan pelbagai acara termasuk ping pong, bola sepak, pickleball, netball dan badminton.
Program simbolik tersebut bukan sahaja menandakan pelancaran rasmi penyertaan pasukan dalam karnival berkenaan, tetapi turut menjadi pemangkin semangat dan motivasi kepada para peserta untuk terus berusaha mencapai kejayaan dalam setiap acara yang dipertandingkan.
Melalui penglibatan aktif dalam aktiviti sukan seumpama ini, ia dapat memperkukuh semangat kesukanan, perpaduan serta jalinan kerjasama dalam kalangan warga kerja di Bahagian Kapit. - EDISI UKAS