Kerajaan Sarawak Kaji Kaedah Salurkan Bantuan RM15,000 Setahun Kepada Pelajar IPTA Seluruh Negara
KOTA SAMARAHAN: Kerajaan Sarawak akan mengkaji kaedah untuk menyalurkan bantuan sebanyak RM15,000 setahun kepada anak jati Sarawak yang menuntut di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) seluruh negara.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, berkata bantuan tersebut sebelum ini disalurkan kepada anak Sarawak dari keluarga berpendapatan rendah yang menuntut di universiti milik Kerajaan Sarawak sahaja.
“Selain itu, bantuan kewangan sebanyak RM15,000 setahun juga akan disalurkan kepada pelajar-pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah.
“Bagi para pelajar Sarawak yang menuntut di IPTA di seluruh negara, Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan mengkaji kaedah untuk menyalurkan bantuan serupa kepada mereka,” ujar beliau.
Pengumuman itu dibuat semasa beliau berucap dalam Majlis Konvokesyen Ke-29 Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) Sidang 3, di sini, pada Selasa.
Atas dasar memahami situasi pelajar hari ini, beliau menegaskan bahawa kerajaan akan meneruskan bantuan wang saku RM1,200 setahun pada tahun hadapan.
Untuk rekod, Kerajaan Sarawak turut memberikan bantuan baucar buku dan komputer riba percuma kepada pelajar dari keluarga berpendapatan rendah yang
merupakan anak jati Sarawak.
Datuk Patinggi Abang Zohari yang juga Pro Canselor UNIMAS menegaskan inisiatif bantuan ini membuktikan usaha Kerajaan Sarawak mengukuhkan sektor pendidikan wilayah ini yang menjadi kunci kepada kejayaan untuk menghapuskan kemiskinan.
“Oleh itu, semua anak muda kita perlu diberi peluang untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang tertinggi tanpa kekangan kewangan khususnya bagi para pelajar yang datang daripada keluarga yang kurang berkemampuan,” ujar beliau lagi. -EDISI UKAS