Persidangan SOSEK MALINDO Perkukuh Kerjasama Sarawak & Kalimantan Barat
MIRI: Persidangan Mesyuarat Teknik dan Sidang Ke-38 Jawatankuasa Kerja Sosial Ekonomi Indonesia–Malaysia (SOSEK MALINDO) peringkat Sarawak dan Provinsi Kalimantan Barat mengukuhkan lagi kerjasama antara kedua-dua pihak.
Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan) Dato Sri Dr Muhammad Abdullah Zaidel berkata, persidangan kali ini memberi tumpuan terhadap beberapa isu berbangkit, termasuk pengurusan pergerakan jenazah antara dua negara, pengoperasian Pos Lintas Batas Temajuk dan Pos Kawalan Sempadan Telok Melano, serta isu pembinaan Rumah Api oleh pihak Indonesia yang melibatkan kawasan di bawah pentadbiran Sarawak.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan serta mempengerusikan Persidangan Mesyuarat Tim Teknis/Teknik dan Sidang ke-38 Jawatankuasa Kerja SOSEK MALINDO Peringkat Sarawak – Provinsi Kalimantan Barat, di sini, pada Selasa.
Selaku Pengerusi Jawatankuasa Kerja SOSEK MALINDO Sarawak, beliau turut mencadangkan agar Provinsi Kalimantan Utara dan Kalimantan Timur dilibatkan dalam sesi persidangan akan datang bagi memperluas jaringan kerjasama dua hala di bawah platform SOSEK MALINDO.
Katanya, kerjasama ini penting untuk membantu memudahkan dan menggalakkan aktiviti ekonomi dan mengurangkan ketirisan pendapatan negara disebabkan oleh aktiviti jenayah rentas sempadan.
Dalam perkembangan lain, beliau menegaskan kedua-dua pihak akan terus meneroka potensi-potensi baharu dalam bidang sosial dan ekonomi dengan elemen keselamatan di kawasan sempadan menjadi faktor penting untuk menjayakan pelaksanaan program sosio ekonomi kedua-dua pihak.
Turut hadir, Ketua Delegasi SOSEK MALINDO Provinsi Kalimantan Barat Ibu Linda Purnama, Residen Bahagian Miri Galong Luang, Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohamad Zainal Abdullah, Pengarah Majlis Keselamatan Negeri Sarawak Hafizi Putit, Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia Sarawak Abdul Halim Abang Naili serta ketua-ketua jabatan negeri dan persekutuan yang lain. -EDISI UKAS