Sarawak Mampu Capai Sasaran RM12 Bilion Resit Pelancongan Menjelang Disember Ini
KUCHING: Sarawak mampu mencapai sasaran RM12 bilion resit pelancongan menjelang Disember ini.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, sektor pelancongan Sarawak kini menunjukkan prestasi menggalakkan dengan hasil pelancongan hampir mencecah RM8 bilion setakat ini.
Kini jelasnya, Sarawak bersiap siaga menaik taraf infrastruktur sedia ada termasuk lapangan terbang baharu, membangunkan pelabuhan luar pesisir yang turut merangkumi pelabuhan gas.
"Kesemua infrastruktur berskala besar ini sedang disediakan bagi menampung kemasukan pelaburan yang dijangka meningkat ke Sarawak.
"Ini bermakna, lebih banyak hotel akan diperlukan bagi menampung urusan perniagaan, mesyuarat, serta pelbagai aktiviti lain para pelabur," katanya ketika berucap dalam Majlis Perasmian Hotel Legacy Hill di sini pada Rabu.
Dalam pada itu, Datuk Patinggi Abang Zohari memberitahu akan terus menaik taraf pentadbiran serta kemudahan bandar di bawah Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) dan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU).
Ujarnya, Kerajaan Sarawak sedang meneliti kemungkinan untuk menaik taraf jalan-jalan di kawasan Padungan hingga Main Bazaar sebagai kawasan pejalan kaki.
"Dalam erti kata lain, kawasan itu akan dijadikan lebih mesra pejalan kaki.
"Jika boleh, kita juga akan menaik taraf premis perniagaan di sekitarnya agar orang ramai berasa selesa untuk berjalan di kawasan tersebut, sekali gus menjadikannya seperti Orchard Road di Singapura," jelasnya.
Hadir sama, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Snowdan Lawan, Pengarah Urusan Hotel Legacy Hill Roger Tiang serta dif-dif kenamaan lain. -EDISI UKAS
Disediakan oleh: Ahmad Daniel Faiz
Jurugambar: Muhd Hanif