BCM Duduki Carta Teratas 'Museum World Ranking', Mampu Jadi Tarikan Pelancong Ke Sarawak
KUCHING: Muzium Budaya Sarawak (BCM) mencipta sejarah apabila menduduki carta teratas dalam 'Museum World Ranking' melalui undian atas talian yang telah mengatasi muzium tersohor Louvre di Paris, Perancis.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, perancangan asal pembinaan BMC berbeza daripada keadaan sekarang, apabila ia kini muncul sebagai antara muzium terbaik di dunia.
Menurutnya, hasrat awal adalah untuk membangunkan sebuah muzium interaktif yang menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan teknologi digital.
"Alhamdulillah, muzium ini telah dinobatkan sebagai Muzium Global pertama di dunia dan ia diharapkan menjadi tarikan kepada masyarakat dunia untuk datang melawat ke Sarawak," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Hotel Legacy Hill di sini pada Rabu.
Tambahnya, Kerajaan Sarawak juga akan menaik taraf Muzium Sejarah Semula Jadi yang terletak di hadapan BCM dalam usaha meningkatkan daya tarikan kepada pengunjung antarabangsa.
Jelasnya, muzium tersebut akan mempamerkan teori evolusi oleh Darwin dan Wallace, serta falsafah Plato di samping menampilkan falsafah biodiversiti di Sarawak.
Namun begitu, Datuk Patinggi Abang Zohari menegaskan, aspek keterhubungan masih menjadi cabaran utama dalam menarik lebih ramai pelancong ke Sarawak.
"Sekiranya hubungan dan rangkaian perjalanan dapat dipermudahkan bagi membolehkan pelancong datang ke Sarawak dengan lebih mudah, ia pasti akan membuka banyak peluang baharu.
"Sebab itu kita tubuhkan AirBorneo untuk menjadi perhubungan antara kita dengan masyarakat luar," jelasnya.
Hadir sama, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Snowdan Lawan, Pengarah Urusan Hotel Legacy Hill Roger Tiang serta dif-dif kenamaan lain. -EDISI UKAS
Disediakan oleh: Ahmad Daniel Faiz
Jurugambar: Muhd Hanif