UKAS Perkukuh Kefahaman Rakyat Seiring Ketangkasan Premier Sarawak
KUCHING: Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) terus memperkukuh kefahaman rakyat terhadap dasar dan inisiatif Kerajaan Sarawak, seiring dengan ketangkasan kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg sejak 2017.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol berkata, Premier Sarawak pernah menyatakan kebimbangan sama ada rakyat benar-benar mengetahui apa yang telah dilaksanakan oleh kerajaan dan risau mereka akan ketinggalan.
Sehubungan itu, beliau menekankan bahawa peranan UKAS adalah untuk memastikan rakyat memahami maksud dan manfaat di sebalik setiap dasar dan inisiatif Kerajaan Sarawak.
"Dalam tempoh lapan tahun Premier Sarawak memimpin Bumi Kenyalang, banyak pembaharuan dan kemajuan berlaku dengan sangat pantas. Semua pihak perlu bergerak seiring dengan kepantasan beliau supaya setiap visi dan agenda kerajaan dapat dilaksanakan dengan berkesan.
"Bukan sahaja rakyat, tetapi kami sebagai wakil rakyat dan pegawai kerajaan juga perlu memahami dan menyesuaikan diri dengan ketangkasan beliau," jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Penangguhan Program Penerangan dan Penjelasan Isu-Isu Semasa anjuran UKAS di Dewan Maj’ma Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah di sini pada Rabu.
Menyentuh mengenai program tersebut, beliau memberitahu, pendekatan komunikasi dua hala ini membolehkan rakyat memahami dengan lebih jelas usaha kerajaan, di samping menerima maklumat yang tepat dan sahih, bagi memastikan setiap dasar yang digerakkan kerajaan memberi impak positif kepada masyarakat.
Tambahnya, UKAS bersama agensi penerangan lain juga bertanggungjawab menyalurkan maklum balas rakyat kepada pucuk pimpinan kerajaan sebagai sebahagian daripada proses komunikasi dua hala.
"Bak kata Premier Sarawak, setiap dasar kerajaan dilaksana dengan mengambil kira suara serta keresahan rakyat, sejajar dengan pendekatan kepimpinan inklusif yang diamalkan," katanya lagi.
Majlis penuh bermakna itu turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang, Dato Ir. Lo Khere Chiang dan Pengarah UKAS, Awang Putrayusrie Awang Redzuan.
Terdahulu dalam majlis sama, Datuk Abdullah turut berkesempatan menjadi moderator dalam sesi dialog bersama ahli-ahli panel jemputan yang membincangkan topik mengenai 'Impak Peruntukan Belanjawan Persekutuan 2026 Ke Atas Sarawak'.
Antara ahli-ahli panel yang terlibat ialah Presiden Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak Datu Abang Helmi Tan Sri Ikhwan, Presiden Gabungan Pertubuhan Cina Sarawak (SFCA) Dato Sri Richard Wee Liang Huat, Pengasas dan Rakan Kongsi Urusan Kumpulan Salihin Dato Sr. Salihin Abang, Pengarah Pusat Pengajian Siswazah Fakulti Ekonomi Dan Perniagaan UNIMAS Profesor Dr. Mohamad Affendy Arip dan Timbalan Pengarah Unit Perancang Ekonomi Sarawak Ivy Lim Chen Chen.-EDISI UKAS