Belanjawan 2026 Dijangka Bawa Manfaat Besar Kepada Sarawak
KUCHING: Belanjawan 2026 yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Oktober lalu dijangka membawa manfaat besar kepada Sarawak, khususnya dalam lima sektor utama iaitu kerajaan, swasta, akademik, perniagaan dan pembangunan komuniti.
Pengarah Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Awang Putrayusrie Awang Redzuan berkata, perkara itu dibincangkan secara terperinci dalam sesi dialog Program Penerangan dan Penjelasan Isu-Isu Semasa: Impak Peruntukan Belanjawan Persekutuan 2026 ke Atas Sarawak, yang diadakan di Dewan Maj’ma, Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah di sini pada Rabu.
Menurutnya, maklumat terkini daripada ahli-ahli panel yang dijemput untuk membincangkan topik berkenaan membolehkan kerajaan Sarawak, sektor swasta dan masyarakat merancang strategi serta mengambil peluang yang disediakan oleh belanjawan tersebut.
"Belanjawan ini bukan sahaja memberi impak kepada kerajaan Sarawak, tetapi turut membuka peluang kepada perniagaan, institusi akademik dan masyarakat umum,” katanya dalam ucapan alu-aluan di majlis penangguhan program tersebut yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol.
Hadir sama ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang, Dato Ir. Lo Khere Chiang.
Dalam pada itu, Awang Putrayusrie turut menyatakan harapannya agar perkongsian maklumat menerusi inisiatif UKAS itu memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat, termasuk para pelajar dan entiti perniagaan, serta menyokong pembangunan Sarawak selaras dengan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
Tambahnya lagi, Sarawak dijangka dapat memaksimumkan peluang pembangunan ekonomi, pendidikan dan sosial menerusi pelaksanaan belanjawan 2026.
Selain Belanjawan Persekutuan 2026, sesi dialog itu juga menekankan inisiatif dan dasar strategik kerajaan Sarawak.
Antara ahli-ahli panel yang terlibat ialah Presiden Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak Datu Abang Helmi Tan Sri Ikhwan, Presiden Gabungan Pertubuhan Cina Sarawak (SFCA) Dato Sri Richard Wee Liang Huat, Pengasas dan Rakan Kongsi Urusan Kumpulan Salihin Dato Sr. Salihin Abang, Pengarah Pusat Pengajian Siswazah Fakulti Ekonomi Dan Perniagaan UNIMAS Profesor Dr. Mohamad Affendy Arip dan Timbalan Pengarah Unit Perancang Ekonomi Sarawak Ivy Lim Chen Chen.-EDISI UKAS