Program Jualan Rahmah Bergerak Ringankan Beban Kos Sara Hidup Penduduk Miri
MIRI: Program Jualan Rahmah Bergerak (PJRB) terus menjadi inisiatif penting dalam membantu rakyat mendapatkan barangan keperluan harian pada harga lebih rendah, sekali gus meringankan beban kos sara hidup.
Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Dato Sri Lee Kim Shin berkata program yang dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) itu telah dijalankan secara berterusan sejak kira-kira tiga tahun lalu di pelbagai lokasi sekitar Miri.
“Pelaksanaan program ini setiap bulan membolehkan penduduk mendapatkan barangan keperluan asas pada harga berpatutan tanpa perlu menanggung kos perjalanan yang tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri program berkenaan yang diadakan di Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Merbau, pada Sabtu.
Menurutnya, program berkenaan menawarkan pelbagai barangan keperluan harian pada harga diskaun antara 10 hingga 30 peratus lebih rendah berbanding harga pasaran sebagai usaha membantu rakyat berdepan cabaran kos sara hidup semasa.
Pada penganjuran kali ini, sebanyak 52 jenis barangan ditawarkan kepada pengguna melibatkan 32 item keperluan utama serta 20 item tambahan yang dijual pada harga istimewa.
Dato Sri Lee berkata program yang memberi tumpuan kepada penduduk sekitar Desa Pujut dan Permyjaya itu menerima sambutan yang amat menggalakkan daripada masyarakat setempat.
Menurut beliau, maklum balas yang diterima menunjukkan ramai penduduk memanfaatkan peluang tersebut untuk mendapatkan bekalan keperluan isi rumah pada harga lebih murah, sekali gus membantu mereka menjimatkan perbelanjaan bulanan.
Beliau berkata terdapat penduduk yang membeli barangan keperluan untuk kegunaan sebulan bagi mengurangkan tekanan kos perbelanjaan keluarga.
Katanya, Program Jualan Rahmah yang dianjurkan sebelum ini di kawasan Senadin turut mendapat sambutan memberangsangkan, sekali gus membuktikan keberkesanan inisiatif tersebut dalam membantu rakyat.
Sehubungan itu, beliau akan terus bekerjasama dengan KPDN bagi memastikan program berkenaan dapat diteruskan sehingga penghujung tahun ini supaya lebih ramai penduduk dapat menikmati manfaat yang disediakan.-EDISI UKAS