Kesihatan Aset Paling Berharga, Masyarakat Diseru Terus Amalkan Gaya Hidup Sihat
KUCHING: Kesedaran terhadap kepentingan menjaga kesihatan fizikal dan mental perlu terus diperkukuh bagi melahirkan masyarakat yang sihat, produktif serta mampu menyumbang kepada pembangunan negeri.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong merangkap Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Dato Fazzrudin Abdul Rahman berkata, kesihatan merupakan aset paling berharga dan usaha mendidik masyarakat mengenai amalan hidup sihat perlu dilaksanakan secara berterusan.
“Aspek pemakanan sihat, aktiviti fizikal, penjagaan kesihatan mental serta pemeriksaan kesihatan berkala perlu dijadikan amalan dalam kehidupan seharian bagi mencegah pelbagai penyakit tidak berjangkit,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) Bahagian Kuching Siri 2/2026 di Masjid Al-Abyad, di sini, pada Sabtu.
Program anjuran Pejabat Kesihatan Bahagian Kuching dan Klinik Kesihatan Petra Jaya itu mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat setempat yang mengambil peluang menyertai pelbagai aktiviti kesihatan dan kemasyarakatan yang disediakan.
Antara pengisian program ialah senamrobik dan briskwalk, jualan MADANI, ceramah kesihatan berkaitan pengurusan tekanan serta burnout dalam kalangan ibu bapa, saringan kesihatan percuma, saringan fizikal dan pelbagai pertandingan melibatkan kanak-kanak serta warga emas.-EDISI UKAS