MIRI: Perpaduan dan keharmonian antara kaum terus menjadi asas penting kepada kestabilan serta pembangunan berterusan yang dinikmati rakyat Sarawak hari ini.
Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Dato Sri Lee Kim Shin berkata semangat perpaduan yang diamalkan masyarakat berbilang kaum dan agama di negeri ini perlu terus dipelihara bagi memastikan agenda pembangunan dapat diteruskan demi kesejahteraan rakyat.
Menurut beliau, pembangunan yang dinikmati hari ini merupakan hasil kerjasama erat antara kerajaan dan rakyat yang sentiasa menyokong usaha pembangunan di peringkat negeri dan tempatan.
“Banyak kawasan di sekitar Senadin dan Kuala Baram yang suatu ketika dahulu berdepan kekurangan kemudahan asas seperti bekalan elektrik, air bersih, jalan raya dan jambatan kini telah berubah menjadi kawasan penempatan yang lebih tersusun dan membangun,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Sambutan Ngiling Bidai 2026 anjuran bersama beliau dengan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Kawasan Rukun Tetangga (KRT), masjid serta masyarakat Dayak Kampung Muhibbah, Kuala Baram pada Sabtu.
Dato Sri Lee berkata pembangunan yang dilaksanakan kerajaan bukan sahaja melibatkan penyediaan infrastruktur asas, malah merangkumi pembinaan sekolah, rumah ibadat serta pelbagai kemudahan awam yang memberi manfaat secara langsung kepada rakyat.
Menurutnya, sepanjang enam penggal berkhidmat sebagai wakil rakyat, setiap bantuan dan projek pembangunan disalurkan tanpa mengira kaum, agama atau latar belakang masyarakat bagi memastikan semua golongan mendapat manfaat secara adil dan saksama.
Beliau menegaskan, pelbagai projek pembinaan dan penambahbaikan masjid, surau serta kemudahan awam lain telah dilaksanakan bagi memenuhi keperluan masyarakat setempat dan meningkatkan taraf hidup penduduk.
Dalam pada itu, Dato Sri Lee mengingatkan masyarakat agar sentiasa berwaspada terhadap penyebaran maklumat tidak sahih serta unsur provokasi di media sosial yang boleh menjejaskan hubungan baik antara kaum dan agama.
Menurutnya, budaya saling menghormati serta amalan meraikan perayaan bersama tanpa mengira latar belakang kaum, agama dan budaya merupakan keunikan Sarawak yang perlu terus dipertahankan.
Dato Sri Lee turut menegaskan bahawa kerajaan Sarawak akan terus memberi tumpuan kepada pembangunan modal insan menerusi penyediaan peluang pendidikan dan pembangunan bakat yang lebih luas kepada rakyat tanpa mengira latar belakang.
Sehubungan itu, beliau berharap semangat perpaduan, toleransi dan kerjasama yang menjadi amalan masyarakat Sarawak selama ini akan terus diperkukuh bagi memastikan pembangunan negeri dapat diteruskan secara mampan untuk generasi akan datang.
Pada majlis sama, beliau turut menyempurnakan penyerahan bekalan air mineral kepada sembilan keluarga sebagai simbolik bantuan kepada penduduk yang terjejas akibat gangguan bekalan air di kawasan berkenaan.-EDISI UKAS