RM1 Juta Dana AFF Perkasa Usahawan Satok, 20 Penerima Terima Mesin & Peralatan Fasa Kedua
KUCHING: Seramai 20 usahawan tempatan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Satok menerima bantuan mesin dan peralatan bernilai RM332,830 menerusi fasa kedua Program Dana Fasilitasi Pertanian (AFF) dalam usaha meningkatkan kapasiti pengeluaran dan daya saing perusahaan mereka.
Timbalan Menteri Utiliti Sarawak (Sarawak Energy Berhad dan PETROS) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok, Datuk Ibrahim Baki berkata, bantuan tersebut merupakan sebahagian daripada peruntukan keseluruhan AFF berjumlah RM1 juta yang diperuntukkan bagi kawasan DUN Satok.
Menurut beliau, pelaksanaan fasa kedua itu menyusuli kejayaan fasa pertama yang turut melibatkan peruntukan sekitar RM300,000 kepada usahawan tempatan.
“Pada hari ini, kita menyerahkan bantuan kepada seramai 20 orang usahawan di kawasan Satok. Ini merupakan fasa kedua penyaluran bantuan AFF selepas pelaksanaan fasa pertama sebelum ini.
“Kesemua bantuan yang diberikan adalah berdasarkan keperluan sebenar usahawan bagi membantu mereka meningkatkan pengeluaran dan pendapatan,” katanya ketika ditemui media selepas Majlis Simbolik Penyerahan Mesin dan Peralatan di bawah Peruntukan Fasilitasi AFF Kawasan DUN Satok, di sini pada Sabtu.
Beliau menjelaskan, bantuan yang disalurkan melibatkan pelbagai jenis mesin dan peralatan pemprosesan makanan termasuk mesin pembuatan kuih, freezer, mesin pemprosesan kelapa serta peralatan lain yang diperlukan bagi meningkatkan produktiviti dan kualiti produk.
Tambahnya, AFF merupakan inisiatif Kerajaan Sarawak bagi membantu usahawan dalam sektor pertanian, pemprosesan makanan dan industri asas tani melalui penyediaan peralatan serta pembiayaan projek yang bersesuaian.
Ujar beliau, program tersebut bukan sahaja membantu meningkatkan pendapatan usahawan, malah menyokong pertumbuhan ekonomi setempat dan memperkukuh rantaian bekalan makanan negeri.
Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan bahawa pihaknya kini sedang menyelaras pelaksanaan fasa ketiga bantuan AFF bagi tahun ini dengan permohonan baharu akan diteliti dan disaring oleh Jabatan Pertanian sebelum dipertimbangkan untuk kelulusan.
Turut hadir, Ketua Biro Ekonomi DUN Satok Sr Mohamad Akram Mohamed Karim dan Penolong Pegawai Pertanian Bahagian Kuching Shafizan Lasai. -EDISI UKAS