Kampung Sealine Atas Bakal Miliki Pusat Aktiviti Komuniti Baharu
MIRI: Penduduk Kampung Sealine Atas, Lutong bakal menikmati kemudahan komuniti yang lebih lengkap menerusi pembinaan sebuah Pusat Aktiviti Komuniti baharu bernilai RM300,000 di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) 2026.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew berkata projek tersebut diluluskan bagi memenuhi keperluan penduduk yang telah lama mengutarakan hasrat untuk memiliki sebuah kemudahan komuniti yang lebih selesa dan kondusif.
Menurut beliau, pertambahan penduduk di kampung berkenaan turut meningkatkan keperluan terhadap sebuah lokasi yang sesuai untuk menganjurkan pelbagai aktiviti kemasyarakatan, program komuniti, mesyuarat serta sambutan perayaan.
“Pembangunan sesebuah komuniti tidak hanya bergantung kepada penyediaan infrastruktur fizikal yang lengkap, malah memerlukan ruang yang sesuai untuk penduduk berkumpul, berinteraksi dan melaksanakan pelbagai aktiviti bersama bagi mengukuhkan hubungan sosial dalam komuniti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan tapak projek di kampung berkenaan bersama pasukan pusat khidmatnya, pegawai Jabatan Kerja Raya (JKR), pemimpin masyarakat dan wakil penduduk setempat pada Khamis.
Datuk Sebastian menambah, pusat aktiviti komuniti tersebut dijangka menjadi kemudahan utama bagi penduduk setempat untuk melaksanakan pelbagai program yang mampu memperkukuh hubungan sosial, semangat kejiranan dan perpaduan masyarakat.
Menurut beliau, tapak pembinaan telah dikenal pasti hasil kerjasama antara pihaknya, Jabatan Tanah dan Survei Miri, pemimpin masyarakat serta penduduk kampung bagi memastikan projek dapat dilaksanakan dengan lancar dan memberi manfaat jangka panjang kepada komuniti.
Jelasnya, pusat aktiviti komuniti memainkan peranan penting sebagai platform yang menyatukan masyarakat serta membuka lebih banyak peluang penyertaan kepada golongan belia, wanita dan warga emas dalam pelbagai aktiviti kemasyarakatan.
Dalam pada itu, Datuk Sebastian Ting menjelaskan RTP bukan sekadar memberi tumpuan kepada pembangunan infrastruktur asas seperti jalan raya, sistem perparitan, lampu jalan dan taman rekreasi, malah turut merangkumi pembangunan kemudahan sosial yang memberi impak langsung kepada kesejahteraan rakyat.
Beliau turut menegaskan komitmennya untuk terus memperjuangkan lebih banyak projek pembangunan berimpak tinggi di kawasan Piasau menerusi RTP dan saluran peruntukan kerajaan yang lain bagi memastikan keperluan rakyat terus diberi perhatian.-EDISI UKAS