Tadbir Urus Cemerlang Bermula Dengan Nilai Amanah & Etika
KUCHING: Tadbir urus yang baik bukan tanggungjawab segelintir pemimpin semata-mata, sebaliknya amanah bersama seluruh penjawat awam bagi memastikan pentadbiran kerajaan sentiasa berpaksikan integriti, keadilan dan ketelusan.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg menegaskan, tadbir urus tidak berlaku secara kebetulan, tetapi hasil daripada pilihan yang berdisiplin, usaha berterusan dan komitmen bersama terhadap nilai integriti.
“Tema ‘Planting the Seeds of Good Governance’ membawa makna mendalam. Ia mengingatkan kita bahawa tadbir urus yang baik perlu disemai dengan sabar dan teliti, sama seperti petani menanam benih dengan penuh harapan.
“Kita mesti menanam benih kepimpinan beretika, keadilan dan ketelusan dalam setiap institusi awam supaya ia tumbuh menjadi budaya integriti dan akauntabiliti,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian ketika merasmikan Majlis Sambutan Ombuds Day 2025 di sini pada Rabu.
Tambah Datuk Patinggi Abang Zohari, prinsip Ombudsman yang menekankan keadilan dan ketelusan harus menjadi teras dalam setiap peringkat perkhidmatan awam daripada penggubalan dasar hingga ke pelaksanaan di lapangan.
Prinsip itu, jelasnya, memastikan setiap aduan diteliti secara adil serta pentadbiran awam diurus dengan profesionalisme yang tinggi.
“Kekuatan kerajaan bukan sahaja diukur melalui kemampuan kewangan atau teknologi, tetapi melalui kuasa moral dan etika yang berpaksikan kejujuran serta integriti.
“Setiap tindakan, sama ada meluluskan permit, mengurus bajet atau melaksanakan projek, mesti mencerminkan tanggungjawab dan profesionalisme penjawat awam,” ujarnya.
Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman) Datuk Dr Juanda Jaya dan dif-dif kenamaan yang lain.-EDISI UKAS