Jadikan Budaya Integriti ‘DNA’ Dalam Sesebuah Organisasi
KUCHING: Setiap organisasi di Sarawak tanpa mengira agensi kerajaan, swasta mahupun akademia diseru untuk menjadikan budaya integriti sebagai ‘DNA’ dalam diri mereka.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman) Datuk Dr Juanda Jaya berkata, setiap lapisan jawatan dalam sesuatu organisasi daripada dasar sumber manusia, tadbir urus lembaga pengarah sehinggalah budaya kerja harian harus menjadikan integriti sebagai tunjang kepada pembentukan ekosistem antirasuah yang mampan.
“Kita boleh mengangkat sumpah ikrar berkali-kali, menandatangani pelbagai dokumen aku janji dan meluluskan dasar, namun tanpa komitmen peribadi, tanpa menjadikannya amalan dan budaya dalam diri maka segala usaha tersebut tidak lebih daripada sekadar lakonan dan bayang-bayang semata-mata,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam program Persidangan Strategi Anti-Rasuah Kebangsaan (NACS) Edisi Sarawak, yang berlangsung di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini, pada Khamis.
Menyentuh konteks pemantapan budaya integriti di Sarawak, beliau menegaskan kerajaan sentiasa menzahirkan komitmen yang jelas terhadap tatakelola yang baik dan akauntabiliti.
“Kewujudan Unit Integriti dan Ombudsman Sarawak (UNIONS), penubuhan Ombudsman Sarawak, serta pelaksanaan program Pegawai Integriti di setiap agensi merupakan bukti nyata bahawa Sarawak mengambil serius isu integriti yang bukan sekadar slogan, tetapi sebagai budaya pentadbiran.
“Prinsip ini turut digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS 2030) yang menekankan bahawa rakyat seharusnya menikmati pembangunan yang adil apabila dasar dan keputusan dibuat secara telus, bebas daripada kepentingan peribadi atau pengaruh luar,” tegas beliau.
Bercakap mengenai program tersebut pula, beliau menegaskan NACS Edisi Sarawak bertujuan untuk menterjemahkan dasar kepada pelaksanaan yang membina kepercayaan awam serta memperkukuh integriti institusi.
Katanya, NACS bukan sekadar dokumen dasar tetapi merupakan kesinambungan kepada Pelan Antirasuah Nasional (NACP) yang pertama kali digubal pada tahun 2019 untuk memandu seluruh jentera kerajaan, sektor swasta dan masyarakat Madani untuk memperkukuh akauntabiliti dan kebertanggungjawaban nasional. -EDISI UKAS