Kompleks Sukan Bintangor Dinaik Taraf, Warga Meradong Nikmati Kemudahan Moden
BINTANGOR: Penantian penduduk Meradong untuk menikmati kompleks sukan berwajah moden akhirnya menjadi kenyataan apabila kerja-kerja menaik taraf Kompleks Sukan Bintangor hampir siap sepenuhnya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing, berkata projek tersebut telah diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dengan peruntukan sebanyak RM2.5 juta.
Menurut beliau, projek itu diluluskan selepas beberapa kali membangkitkan permohonan menaik taraf kompleks berkenaan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang lalu.
“Selain menyediakan kemudahan yang lebih selesa, projek ini juga berperanan sebagai platform untuk melahirkan generasi muda yang aktif dalam bidang sukan,” katanya.
Sementara itu, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak (MYSED) atas kelulusan dana bagi melaksanakan projek tersebut.
Beliau berharap projek ini akan memberi impak positif kepada masyarakat setempat dan menjadi pusat aktiviti sukan yang berkualiti bagi semua golongan.
“Projek naik taraf Kompleks Sukan Bintangor dijangka siap dalam tempoh lapan bulan, iaitu pada bulan November tahun ini,” tambahnya.
Dalam pada itu, kerja-kerja menaik taraf kompleks itu melibatkan pembinaan litar larian, padang bola sepak, sistem perparitan, trek lompat jauh dan lompat tinggi bagi meningkatkan kemudahan sedia ada. -EDISI UKAS