Sistem Saliran Kuala Lama Dinaik Taraf Bagi Elak Banjir
MUKAH: Projek Naik Taraf saliran di kawasan Jalan Muhibah, Kampung Kuala Lama yang dilaksanakan di bawah Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) 2025 bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tellian telah diserahkan secara rasmi kepada pihak kontraktor pada Selasa.
Majlis penyerahan yang diadakan di Kampung Kuala Lama itu turut dihadiri oleh wakil agensi pelaksana, Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) Mukah.
Penyerahan ini menandakan permulaan pelaksanaan projek berkenaan yang dijangka memberi manfaat besar kepada penduduk setempat, terutamanya bagi mengatasi masalah sistem saliran di kawasan itu.
Projek naik taraf ini merupakan antara inisiatif Kerajaan Sarawak melalui program RTP bagi memperkukuhkan pembangunan infrastruktur asas luar bandar sekali gus meningkatkan kualiti hidup penduduk di kawasan tersebut.
Turut hadir, Pegawai Khas Pusat Khidmat Masyarakat Tellian Jay Keram dan Ketua Kaum Kuala Lama Junaidi @ Yakub Usop. -EDISI UKAS