KOTA SAMARAHAN: Semangat kontinjen R&DO Samarahan, atau lebih dikenali sebagai ‘Samarando’, kini berada pada kemuncaknya apabila seluruh pasukan bersiap sedia menggalas cabaran sebagai tuan rumah Karnival Sukan Sarawak Civil Service (SCS) R&DO 2025 yang bakal bermula dari 6 hingga 9 November ini.
Residen Bahagian Samarahan, Mohamad Irwan Bahari Bujang mengingatkan semua atlet dan ahli jawatankuasa bahawa detik penentuan sudah tiba setelah berbulan-bulan mereka menumpahkan tenaga dan masa bagi menghadapi kejohanan tersebut.
“Kita berhimpun hari ini bukan seperti biasa. Ini saat penentuan, the moment of truth! Kita telah bersedia dari segi latihan, strategi dan semangat.
"Matlamat kita jelas, iaitu untuk menganjurkan kejohanan ini dengan cemerlang dan untuk menang,” katanya selepas raptai penuh karnival berkenaan di Auditorium Pertubuhan Peladang Negeri Sarawak (PPNS), di sini, pada Rabu.
Menurut beliau, kejayaan bukan hanya diukur melalui kemenangan semata-mata, tetapi turut mencerminkan semangat perpaduan serta kerjasama erat dalam kalangan penjawat awam di Bahagian Samarahan.
“Tidak semua diberi peluang menjadi sebahagian daripada pasukan ini. Ada yang bukan anak jati Samarahan, namun di sinilah tempat kita mencari rezeki. Hari ini, kita bersatu atas nama Samarahan dan pastikan kejayaan menjadi milik kita di bumi sendiri,” ujarnya.
Mohamad Irwan turut mengingatkan kontinjen agar mengekalkan disiplin, ketenangan dan kekuatan mental sepanjang kejohanan, serta menampilkan semangat kesukanan yang tinggi.
“Gunakan sepenuh tenaga, kepakaran dan strategi yang telah diasah. Jangan panik, jangan emosi. Kekal tenang, bijak dan kuat dari segi mental serta fizikal,” pesannya.
Beliau turut menegaskan bahawa sebagai tuan rumah, kontinjen Samarando perlu menjadi contoh terbaik dari segi profesionalisme, disiplin dan semangat kesukanan sejati demi mengangkat nama baik Bahagian Samarahan.
Turut hadir pada sesi berkenaan ialah Timbalan Residen Bahagian Samarahan Rais Ahmat, Pegawai Tadbir Khas Agensi Agensi Pembangunan Bersepadu Wilayah Samarahan (IRSDA) Anuar Da’an, Pegawai Daerah Samarahan Ahmad Abdul Razak, Pegawai Daerah Asajaya Jerry Zannuddin Bidin, Pegawai Daerah Simunjan Sanuyah Mohamad, Pegawai Daerah Gedong Tamida Da’adi serta Pegawai Daerah Sebuyau Ayuradiman Bujang.-EDISI UKAS