Lapan Projek Air Graviti Bawa Manfaat Kepada Lebih 550 Isi Rumah di DUN Opar
LUNDU: Sebanyak lapan buah kampung di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Opar menerima manfaat pembangunan melalui pelaksanaan Projek Sistem Paip Air Graviti di bawah inisiatif Agensi Penyelarasan Pembangunan Greater Kuching (GKCDA) yang bermula secara serentak pada 22 Oktober 2025.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang menegaskan bahawa kemudahan asas seperti bekalan air bersih adalah antara keutamaan beliau bagi memastikan penduduk luar bandar tidak ketinggalan dalam arus pembangunan negeri.
“Bekalan air bersih bukan hanya untuk keselesaan, tetapi juga untuk kesejahteraan rakyat.
“Dengan kerjasama rapat antara GKCDA, Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) dan pihak kontraktor, kita mahu memastikan setiap komuniti mendapat kemudahan yang setara dan berkualiti,” katanya semasa majlis penyerahan tapak rasmi projek berkenaan di sini, pada Rabu.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat, termasuk jabatan teknikal dan kontraktor pelaksana, yang memainkan peranan penting dalam memastikan projek-projek berimpak tinggi ini dilaksanakan dengan baik dan memberi manfaat kepada masyarakat.
Projek tersebut melibatkan lima kampung di Zon Bitokan iaitu Kampung Tanjam/Opek, Kampung Jampari, Kampung Semapu, Kampung Sebiris dan Kampung Bagak serta tiga kampung di Zon Stenggang iaitu Kampung Stenggang, Kampung Bitokan dan Kampung Judin dengan jumlah keseluruhan nilai melebihi RM3.4 juta.
Bagi Kampung Tanjam/Opek, projek bernilai RM504,000 dilaksanakan oleh Vet Raj Enterprise dan dijangka memberi manfaat kepada 90 buah rumah.
Di Kampung Jampari, U-Kin Engineering melaksanakan projek bernilai RM318,840 yang akan menyalurkan air bersih kepada 50 buah rumah, manakala Kampung Semapu menerima manfaat melalui projek bernilai RM366,500 oleh Concrete Tech Company, yang akan memberi manfaat kepada 55 buah rumah.
Sementara itu, Kampung Sebiris turut menerima projek bernilai RM523,230 yang dikendalikan oleh Vet Raj Enterprise, melibatkan manfaat kepada 177 buah rumah dan Kampung Bagak pula dilaksanakan oleh U-Kin Engineering dengan nilai RM272,240, memberi manfaat kepada 59 buah rumah.
Bagi Zon Stenggang, Kampung Stenggang menerima projek bernilai RM448,000 yang dikendalikan oleh Destisar Sdn. Bhd., dijangka memberi manfaat kepada 100 buah rumah.
Di Kampung Bitokan, projek bernilai RM81,000 dilaksanakan oleh Lambir Jaya Enterprise dan memberi manfaat kepada kira-kira 40 buah rumah, manakala Kampung Judin menerima projek bernilai RM187,850.00 yang turut dikendalikan oleh syarikat sama, melibatkan 60 buah rumah.
Secara keseluruhan, lapan buah projek ini akan memberikan impak langsung kepada lebih 550 isi rumah luar bandar di kawasan DUN Opar, sekali gus meningkatkan taraf hidup dan kesihatan penduduk melalui bekalan air bersih yang lebih stabil dan berkualiti.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Niponi Undek, Penolong Jurutera Air Bahagian Kuching Ts. Siet Ung Wu serta para ketua masyarakat antaranya Gary Nosen, Anthony Jirang, Marcus Ranyei, Nyagah Giniw, Adiren Gabin, Adris Kabon, Kaderi Kisang, Setu Ndoi, Lai Lipan, Selip Ambun dan Kapitan Voon Ah Kong.-EDISI UKAS