Capaian Internet, Keselamatan Jalan Raya Dipertingkat Melalui Projek Baharu GKCDA di Tanjong Datu
LUNDU: Usaha memperkukuh kemudahan asas dan digital di kawasan luar bandar terus dipertingkat apabila dua projek baharu di bawah Agensi Penyelarasan Pembangunan Greater Kuching (GKCDA) dilaksanakan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Datu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu, Azizul Annuar Adenan hadir menyaksikan majlis penyerahan tapak projek kepada kontraktor pelaksana yang diadakan di Daerah Lundu pada Rabu.
Antara projek yang diserahkan ialah Projek Penambahan Struktur 4G di Kampung Sungai Limo, yang dilaksanakan oleh Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC) di bawah agensi pelaksana Lembaga Multimedia Sarawak (SMA).
Projek ini dijangka siap dalam tempoh lima bulan dan bakal meningkatkan capaian rangkaian internet di kawasan luar bandar Lundu.
Selain itu, turut diserahkan ialah Projek Penambahan Lampu Jalan di sepanjang Jalan Pesisir Pantai Tanjong Datu, yang dilaksanakan oleh Metro Glide Sdn. Bhd. di bawah Jabatan Kerja Raya (JKR) sebagai agensi pelaksana.
Projek ini merangkumi empat kluster utama iaitu Kluster 1 melibatkan jajaran jalan dari Sematan ke Telok Melano, Kluster 2 bagi laluan Pekan Lundu ke Pugu, Kluster 3 meliputi jalan Kampung Rambungan ke Temelan, manakala Kluster 4 melibatkan jalan Pekan Sematan ke Pueh Kenek dengan tempoh pelaksanaan selama dua tahun.
Dalam sidang media ringkas, Azizul Annuar memaklumkan bahawa sebanyak 38 projek di bawah GKCDA telah dirancang untuk kawasan DUN Tanjong Datu.
Beliau berkata, daripada jumlah tersebut, empat projek telah siap, 12 sedang dilaksanakan, dua dalam proses tender, enam di peringkat konsultansi, manakala 14 lagi masih dalam perancangan.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Pegawai Daerah Lundu Awang Yusup Awang Mostapha, Setiausaha Majlis Daerah Lundu Norashikin Brahim, Pemanca Benjamin Gersit Jais, Penghulu Raba’el Bujang Ili serta ketua-ketua kaum dan masyarakat setempat.-EDISI UKAS