Kerajaan Pertimbang Perkenal Semula Elemen Tasawwuf & Pendidikan Moral Dalam Kurikulum Sekolah
KUCHING: Kerajaan sedang meneliti kemungkinan memperkenalkan semula elemen Tasawwuf dan Pendidikan Moral dalam sistem pendidikan negara sebagai usaha menanam nilai dan etika murni selari dengan cabaran era teknologi dan kecerdasan buatan (AI).
Timbalan Perdana Menteri Datuk Amar Fadillah Yusof berkata, perbincangan bersama Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek akan diadakan bagi menilai semula kurikulum dan silibus pengajaran sedia ada agar ia lebih relevan dengan keperluan semasa masyarakat.
"Ini supaya kita dapat mengasuh anak-anak kita sejak dari awal lagi agar mereka memahami nilai dan budaya yang sesuai dengan negara kita yang mempunyai pelbagai latar belakang dan kepercayaan yang berbeza.
"Perbezaan ini perlu difahami supaya setiap tindakan yang kita lakukan disedari mempunyai implikasi yang boleh mendatangkan pelbagai reaksi daripada masyarakat yang berbeza latar belakang.
"Itulah yang perlu kita fahami, dan itu juga hasrat yang ingin saya bawa ke peringkat kebangsaan," katanya selepas merasmikan Seminar Fikrah Siddiq Fadzil 2.0 Peringkat Negeri Sarawak 2025 di Pustaka Negeri Sarawak pada Sabtu.
Menjawab pertanyaan sama ada cadangan itu hanya tertumpu kepada sekolah rendah, Ahli Parlimen Petra Jaya itu menjelaskan, ia akan turut melibatkan sekolah menengah dengan pengenalan peringkat awal akan bergerak mengikut kohort.
Namun sekiranya tidak diperkenalkan secara formal, beliau turut mengesyorkan agar bidang ini dijadikan tumpuan dalam sebahagian daripada kokurikulum atau program-program lain yang dapat menanam dan menyemai nilai yang sesuai dengan kebudayaan serta latar belakang negara Malaysia. -EDISI UKAS
Disediakan oleh: Ahmad Daniel Faiz
Jurugambar: Ahmad Daniel Faiz dan Muhd Ramzani