Projek RTP Penyediaan Tapak Perkuburan BEM Bintangor Siap Lebih Awal
BINTANGOR: Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) bagi Penyediaan Tapak Perkuburan Gereja Evangelical Mission (BEM) Bintangor telah berjaya disiapkan dan diserahkan secara rasmi dalam satu majlis ringkas yang diadakan pada Jumaat.
Projek yang bermula pada 10 Oktober 2025 tersebut pada awalnya dijangka siap sepenuhnya pada 9 Januari 2026 dengan kos keseluruhan berjumlah RM50,000 dapat disiapkan lebih awal iaitu pada 7 November 2025.
Difahamkan, skop projek merangkumi kerja-kerja penyediaan tanah, pengukuhan struktur asas, penyusunan laluan akses, penambahbaikan sistem saliran serta penyediaan kawasan perkuburan yang lebih teratur.
Kesemua usaha ini bertujuan memastikan tapak perkuburan memenuhi keperluan jangka panjang komuniti gereja, selain memudahkan pengurusan dan kunjungan keluarga pada masa hadapan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing yang hadir menyaksikan penyerahan projek berkenaan menzahirkan penghargaan kepada pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) dan semua yang terlibat atas pelaksanaan projek yang berjalan lancar.
“Dengan siapnya projek ini, Gereja BEM Bintangor kini memiliki tapak perkuburan yang lebih teratur, selesa, dan sesuai untuk keperluan masyarakat setempat, sejajar dengan usaha memperkukuhkan pembangunan luar bandar yang menyeluruh dan mampan,” ujarnya.
Beliau turut menegaskan komitmen kerajaan Sarawak untuk terus menyediakan kemudahan lebih baik kepada masyarakat luar bandar, termasuk institusi keagamaan yang memainkan peranan penting dalam pembangunan sosial. -EDISI UKAS