KCFC Enggan Leka, Fokus Buru Slot Kedua Liga Super, Sasar Pentas Asia
KUCHING: Biarpun berjaya mara ke pentas akhir Piala Malaysia, Kuching City FC (KCFC) enggan leka dan akan terus fokus untuk memburu kedudukan kedua Liga Super 2025/2026 dalam usaha memburu slot ke peringkat Asia.
Ketua Jurulatih KCFC Aidil Sharin Sahak berkata, hari ini merupakan momen bermakna untuk diraikan dan dinikmati namun perlu kembali fokus setelah kembali ke kem latihan dalam usaha mengejar tangga kedua liga.
Jelasnya, sasaran seterusnya adalah membawa Sarawak dan KCFC ke tahap lebih tinggi, bersaing di peringkat ASEAN dan Asia.
"Sudah tentu, saya mahu membawa KCFC ke ACL Cup atau ACL Elite kerana itu antara pertandingan terbaik.
"Kita lihat Johor Darul Takzim (JDT) FC juga beraksi baik, jadi kami mahu mengikut jejak langkah yang baik seperti JDT.
"Harapnya kami akan melangkah setapak demi setapak kerana bukan mudah untuk mencapainya dalam masa singkat," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas perlawanan separuh akhir kedua KCFC menentang Selangor di Stadium Negeri Sarawak pada Sabtu.
Mengulas mengenai kejayaan malam ini, Aidil memberitahu, kejayaan yang diraih adalah usaha lelah penat pemain dan pengurusan yang berjaya menaikkan nama KCFC dalam masa dua tahun.
Mengimbau kenangan permulaan di KCFC, Aidil menyatakan penonton dahulu hanyalah 100 ke 200 orang sahaja, namun barisan pemain yang berkaliber menyebabkan suasana stadium sentiasa penuh.
"Ini semua hasil prestasi pemain di mana mereka bekerja keras dan sasaran mereka sejak pramusim adalah untuk ke final Piala Malaysia.
"Presiden KCFC (Dato Fazzrudin Abdul Rahman) juga mahukannya, dan saya rasa pemain memberikan hadiah itu malam ini," ujar beliau. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: George Embie