Graduan UTS Diseru Galas Tanggungjawab Bina Masa Depan Sarawak
SIBU: Yang Di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar menyeru para graduan Universiti Teknologi Sarawak (UTS) agar terus menggalas tanggungjawab membina masa depan negeri berasaskan ilmu, integriti dan perpaduan.
Berucap pada Majlis Konvokesyen Ke-10 UTS yang berlangsung di Dewan Utama UTS di sini pada Sabtu, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi berkata para graduan kini memikul amanah besar untuk memainkan peranan dalam menjayakan visi Sarawak ke arah negeri maju, makmur dan lestari menjelang tahun 2030, selaras dengan aspirasi Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.
“Sarawak kini menuju ke arah menjadi hab digital, kuasa tenaga hijau, pusat teknologi serta inovasi, malah berpotensi menjadi hab angkasa dan penerbangan serantau.
“Projek berimpak tinggi seperti Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching baharu, pelabuhan kargo Tanjung Embang, loji hidrogen bersepadu dan ekonomi digital sedang membuka pintu peluang luas kepada generasi muda,” jelas beliau.
Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi turut mengingatkan rakyat Sarawak agar terus bersatu dan teguh mempertahankan hak-hak negeri yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963(MA63).
Beliau juga menekankan pentingnya menolak rasuah serta mengamalkan nilai integriti dalam setiap tindakan, sambil menyatakan sokongan terhadap penubuhan Jabatan Ombudsman Sarawak bagi memastikan tadbir urus negeri yang bersih dan berakauntabiliti.
Sementara itu, Naib Canselor UTS, Emeritus Profesor Datuk Dr. Khairuddin Abdul Hamid berkata, konvokesyen kali ke-10 ini menyaksikan seramai 408 graduan daripada 21 program akademik menerima ijazah masing-masing.
Daripada jumlah tersebut, 44 graduan menerima ijazah pascasiswazah manakala 364 lagi menerima ijazah sarjana muda.
Majlis turut menyaksikan penyampaian Anugerah Canselor kepada Bernard Kieu Boon Chee (Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal dengan Kepujian), Anugerah Akademik kepada Esther Tiong Ying Ying (Sarjana Muda Perakaunan dengan Kepujian) dan Darrel Simbas Ritchie (Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan dengan Kepujian).
Selain itu, 26 graduan turut menerima Anugerah Industri, kepimpinan dan buku yang ditaja oleh pelbagai agensi dan organisasi.
Dalam majlis yang bersejarah itu juga, Lembaga Pengarah dan Senat UTS menganugerahkan gelaran Profesor Emeritus kepada Dato’ Dr. Abdul Hakim Juri sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan besar beliau selaku Naib Canselor Pengasas UTS yang telah meletakkan asas kukuh pembangunan akademik dan kepimpinan universiti tersebut.
Hadir sama isteri kepada Yang Dipertua Negeri Sarawak, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi, Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Dr Annuar Rapaee, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi serta Ahli Lembaga Pengarah UTS.-EDISI UKAS