Ibu Bapa Harap NFDP Terus Cungkil Bakat Muda Bola Sepak Sarawak
KUCHING: Ibu bapa kepada pemain di bawah Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) Sarawak menyuarakan sokongan padu agar program berkenaan diteruskan, dengan menyifatkannya sebagai platform penting untuk mencungkil dan membangunkan bakat muda bola sepak di negeri ini.
Salah seorang bapa pelatih, Sarjili Morshidi berkata, NFDP wajar dikekalkan bagi memastikan peluang sama rata diberikan kepada semua kanak-kanak di seluruh negeri.
“Kami berharap NFDP dapat dikekalkan. Program ini memberi peluang kepada anak-anak kita menunjukkan bakat, bukan hanya dari daerah tertentu, tetapi dari seluruh Sarawak,” katanya.
Seorang lagi bapa pelatih, Aswandy Zaidel menyeru agar Kerajaan Persekutuan meneruskan peruntukan bagi memastikan kesinambungan program tersebut.
“Kami berharap Kerajaan Persekutuan dapat menyediakan dana bagi memastikan program ini terus berjalan. Setiap aktiviti bola sepak hari ini memerlukan sokongan yang mencukupi,” ujarnya.
Sementara itu, Mohamad Yusri dan Mohd Azri yakin program ini mampu terus melahirkan pemain bertaraf kebangsaan sekiranya disokong oleh kerajaan di peringkat Persekutuan dan Negeri.
“NFDP membantu mengenal pasti bakat muda bukan sahaja di peringkat negeri, tetapi juga untuk pasukan kebangsaan Malaysia,” kata Mohd Azri.
Dalam pada itu, NFDP Sarawak akan menyertai Karnival Kebangsaan NFDP 2025 yang dijadual berlangsung dari 14 hingga 20 November 2025 di Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari (AMD), Gambang, Pahang.
Kejohanan berkenaan akan menghimpunkan pemain muda terbaik dari seluruh negara, termasuk dari Sarawak dan Sabah.
NFDP Sarawak turut menegaskan komitmennya untuk terus menyediakan laluan pembangunan yang konsisten dan mampan bagi pemain dari Malaysia Timur mara ke peringkat kebangsaan.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Alezxandria Kapple
Penterjemah: Betrice Britney Dee