SOBI 2026 Perkukuh Kedudukan Sarawak Sebagai Destinasi Sukan Tinju Antarabangsa
MIRI: Penganjuran Sarawak Open Boxing International (SOBI) 2026 Edisi Ke-5 terus memperkukuh kedudukan Sarawak sebagai destinasi utama penganjuran acara sukan bertaraf antarabangsa sekali gus menyumbang kepada pembangunan pelancongan sukan dan ekonomi tempatan.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew berkata, kejohanan berprestij itu bukan sahaja menjadi platform pembangunan sukan tinju, malah berperanan memperkenalkan Sarawak kepada masyarakat antarabangsa.
Menurut beliau, penganjuran kejohanan tersebut membuktikan keupayaan Sarawak sebagai tuan rumah kepada acara sukan berkualiti tinggi yang mampu menarik penyertaan atlet, jurulatih, pegawai serta penyokong dari pelbagai negara.
“Melalui acara sukan antarabangsa seperti ini, kita bukan sahaja menyaksikan persaingan sihat dalam gelanggang, tetapi turut mewujudkan peluang untuk pertukaran budaya, mengeratkan persahabatan serta memperkukuh hubungan antara komuniti antarabangsa,” katanya ketika berucap semasa merasmikan SOBI 2026 Edisi Ke-5 di Stadium Tertutup Miri.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau itu turut merakamkan penghargaan kepada Persatuan Tinju Negeri Sarawak, Perbadanan Sukan Sarawak, jawatankuasa penganjur, penaja, sukarelawan serta semua pihak yang terlibat dalam menjayakan kejohanan tersebut.
Katanya, sukan tinju khususnya menuntut tahap disiplin, keberanian dan ketahanan mental yang tinggi selain membentuk individu yang berdaya tahan, berintegriti serta mampu menghadapi cabaran kehidupan.
Menyentuh mengenai potensi pelancongan sukan, beliau berkata Kerajaan Sarawak di bawah kepimpinan Premier Sarawak terus komited memperkukuh sektor tersebut sebagai salah satu pemangkin utama ekonomi negeri.
Turut hadir Timbalan Datuk Bandar Miri, Kaunselor Ariffin Mohamad serta tetamu kehormat lain.-EDISI UKAS