Projek RTP RM300,000 Bina Dewan Serbaguna SJK Chung Hua Pantu Berjalan Lancar
PANTU: Impian warga Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Chung Hua Pantu untuk memiliki kemudahan dewan serbaguna baharu semakin menjadi kenyataan apabila projek Fasa 1 pembinaan dewan serbaguna sekolah itu sedang giat dilaksanakan menerusi peruntukan Program Transformasi Luar Bandar (RTP) Dewan Undangan Negeri (DUN) Simanggang.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang, Datuk Francis Harden Hollis berkata projek bernilai RM300,000 itu telah bermula pada penghujung Disember tahun lalu dan dijangka siap sepenuhnya pada penghujung Ogos tahun ini.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan ke tapak Projek Fasa 1 Dewan Serbaguna SJK Chung Hua Pantu pada Selasa.
Dalam pada itu, beliau menambah projek tersebut dilaksanakan oleh RIE Enterprises dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Sri Aman sebagai agensi pelaksana, melibatkan pembinaan padang terbuka dan pentas sebagai sebahagian daripada kemudahan dewan serbaguna baharu sekolah berkenaan.
Menurutnya, pelaksanaan Fasa 2 projek akan diteruskan selepas Fasa 1 siap dan akan melibatkan kerja-kerja menaik taraf dewan termasuk pemasangan sistem pendawaian elektrik.
Projek Fasa 2 itu akan dibiayai menerusi RTP DUN Balai Ringin dengan peruntukan sebanyak RM350,000 yang telah disalurkan oleh Timbalan Menteri Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak merangkap ADUN Balai Ringin Datuk Snowdan Lawan.
Datuk Francis Harden berharap kedua-dua fasa projek dapat disiapkan mengikut jadual agar kemudahan tersebut dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh warga sekolah untuk pelbagai aktiviti termasuk sukan, perhimpunan dan program pembangunan murid.
Turut hadir ialah pegawai-pegawai JKR Bahagian Sri Aman serta ketua-ketua masyarakat komuniti Cina dan Iban di kawasan tersebut.-EDISI UKAS