Pembangunan Bakat Teknologi Diperkasa, Pelajar Swinburne Sarawak Raih Pengiktirafan Serantau
KUALA LUMPUR: Usaha memperkukuh pembangunan bakat teknologi berkemahiran tinggi terus dipergiat menerusi kerjasama strategik antara SMD Semiconductor dan Swinburne University of Technology Sarawak Campus yang berjaya menjambatani pembelajaran akademik dengan latihan industri lanjutan.
Menurut satu kenyataan media, inisiatif tersebut membuahkan hasil apabila pelajar kejuruteraan Swinburne Sarawak, Felix Thian Zhi Xiang, yang juga alumni Bootcamp SMD IC Design Competition 2026, meraih tempat naib juara pertama dalam pertandingan TECH Zoomers Challenge sempena acara SEMICON Southeast Asia 2026 di Kuala Lumpur.
Pencapaian itu mencerminkan keberkesanan pendekatan latihan berasaskan industri dalam melahirkan bakat masa hadapan yang mampu menyokong perkembangan pesat ekosistem teknologi tinggi di Sarawak.
Sebagai pelajar Tahun 3 dalam bidang Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (E&E), beliau memanfaatkan kemahiran teknikal yang diperoleh sepanjang program bootcamp intensif tersebut, termasuk pendedahan kepada penggunaan alat Electronic Design Automation (EDA) serta proses reka bentuk semikonduktor yang relevan dengan keperluan industri semasa.
Pertandingan peringkat serantau itu menghimpunkan pelajar terbaik dari seluruh Asia Tenggara untuk menghasilkan penyelesaian inovatif terhadap cabaran sebenar dalam ekosistem semikonduktor dengan penilaian dibuat oleh pakar industri terkemuka.
Kejayaan ini sekali gus menjadi penanda aras penting dalam usaha mengintegrasikan latihan teknikal dengan aplikasi dunia sebenar di samping memperkukuh kemahiran berfikir kritis dan penyelesaian masalah dalam kalangan pelajar.
Dalam pada itu, SMD Semiconductor dan Swinburne Sarawak terus komited memperkasa inisiatif pembangunan bakat teknologi mendalam (deep-tech) bagi memastikan generasi profesional masa depan dilengkapi kemahiran menyeluruh dalam mendepani cabaran industri yang semakin kompleks.
Melalui gabungan asas teori kukuh dan pendedahan praktikal industri, usaha ini diyakini mampu memacu pertumbuhan industri jangka panjang serta menyumbang kepada kemakmuran ekonomi negeri dan negara.-EDISI UKAS