52 Pelajar Tingkatan Enam Terima Alat Tulis, Suntikan Semangat Hadapi STPM
MIRI: Seramai 52 pelajar Tingkatan Enam dari SMK Baru Miri menerima sumbangan alat tulis dalam satu Majlis Sesi Motivasi dan Penyerahan Alat Tulis pada Selasa yang menjadi pemangkin semangat untuk mereka menghadapi peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).
Inisiatif tersebut mencerminkan komitmen berterusan dalam menyokong kecemerlangan pendidikan serta memperkasa generasi muda sebagai aset penting pembangunan negeri.
Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, pelaksanaan insentif pendidikan sejak beberapa tahun lalu telah menunjukkan impak positif apabila pencapaian akademik pelajar terus meningkat dari semasa ke semasa.
Menurut beliau, pelajar Sarawak kini berada dalam kedudukan lebih baik untuk melanjutkan pengajian ke peringkat tinggi susulan pelaksanaan inisiatif pendidikan universiti percuma oleh Kerajaan Sarawak bermula tahun ini.
Beliau menjelaskan bahawa kemudahan tersebut melibatkan 64 kursus yang ditawarkan di institusi pengajian tinggi milik kerajaan negeri termasuk di Miri, Sibu dan Kuching.
Sehubungan itu, beliau menggesa para pelajar agar terus berusaha bersungguh-sungguh bagi melanjutkan pengajian dalam bidang profesional seperti kejuruteraan, kewangan, perakaunan serta bidang strategik lain yang diperlukan untuk pembangunan Sarawak.
Tambahnya, negeri ini memerlukan lebih ramai tenaga kerja mahir dan profesional bagi menyokong agenda pembangunan serta mengurangkan kebergantungan terhadap kepakaran luar.
Dalam pada itu, beliau turut menekankan kepentingan penguasaan bidang teknologi baharu seperti Kecerdasan Buatan (AI) yang kini menjadi antara pemacu utama ekonomi global.
Katanya, pembangunan modal insan dalam bidang AI, tenaga, elektronik, mekanikal, kimia dan pelbagai cabang kejuruteraan lain amat penting bagi merealisasikan aspirasi Sarawak untuk menjadi wilayah berpendapatan tinggi menjelang tahun 2030.
Majlis tersebut turut menyaksikan penyerahan alat tulis kepada 52 pelajar Tingkatan Enam sebagai simbol sokongan terhadap usaha mereka dalam mengejar kecemerlangan akademik, sekali gus memperkukuh pembangunan modal insan di negeri ini.-EDISI UKAS