Datuk Abdullah Saidol Suntik Moral Pemain NFDP Sarawak Sebelum Berangkat Ke Akademi Mokhtar Dahari
KUCHING: Timbalan Menteri Di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) merangkap Penaung Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) Sarawak, Datuk Abdullah Saidol berkesempatan bertemu dengan pemain NFDP negeri ini pada Sabtu.
Beliau meluangkan masa bertemu dengan para pemain NFDP Sarawak bagi kategori Bawah 12 (Wanita) serta Bawah 14 dan 16 (Lelaki) sebelum mereka berangkat ke Akademi Mokhtar Dahari, Gambang, Pahang, bagi menyertai Liga Kebangsaan NFDP Malaysia 2025 yang akan berlangsung dari 13 hingga 21 November ini.
Dalam kenyataan NFDP hari ini, Datuk Abdullah turut menyampaikan amanat daripada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr.) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg yang menzahirkan harapan agar semua pemain menampilkan disiplin tinggi, semangat berpasukan, serta menjadi duta kecil negeri Sarawak yang berwibawa di pentas kebangsaan.
Beliau turut menekankan kepentingan kerjasama, disiplin dan fokus sebagai kunci kecemerlangan, di samping menasihati para pemain agar sentiasa menjunjung semangat kesukanan sejati dan menjaga nama baik negeri Sarawak.
Selain memberi kata semangat, Datuk Abdullah turut menyampaikan sumbangan peribadi beliau serta sumbangan daripada Datuk Patinggi Abang Zohari kepada pasukan NFDP Sarawak sebagai tanda dorongan dan penghargaan terhadap usaha gigih pemain, jurulatih dan pegawai yang terlibat dalam persiapan menghadapi kejohanan tersebut.
Prospek-prospek yang terpilih untuk mewakili Pasukan NFDP Sarawak ke Liga Kebangsaan NFDP Malaysia 2025 terdiri daripada pemain-pemain muda berbakat yang telah dinilai dan disaring melalui program pembangunan berkala serta liga NFDP Sarawak di seluruh pusat-pusat bahagian NFDP Sarawak, hasil pemantauan serta penilaian Pengurusan NFDP Sarawak dengan kerjasama rakan strategik Perbadanan Sukan Sarawak (SSC).
Dalam pada itu, NFDP Sarawak merakamkan penghargaan kepada Premier Sarawak atas sokongan dan bantuan yang diberikan dalam memastikan persiapan pasukan berjalan lancar menjelang kejohanan ini.
Pada masa sama, ibu bapa, penjaga dan pihak pengurusan NFDP Sarawak turut menyampaikan penghargaan kepada Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan atas pelaksanaan program pembangunan akar umbi yang memberi peluang kepada anak-anak muda Sarawak untuk berkembang dalam bidang sukan.
Mereka turut berharap agar program seperti ini akan diteruskan pada masa hadapan demi kemajuan dan masa depan generasi muda negeri Sarawak. -EDISI UKAS